Usahawan TVET MARA termuda di INOTEKDESA 2018

Ahmad Aqib (kanan) bergambar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun.

MELAKA, 17 November – Pemilik AQB Resources, Ahmad Nur Al Aqib Ahmad Zamanhuri (26) antara usahawan TVET MARA termuda pembekal mesin di Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDESA) 2018 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang bermula pada 15 November hingga 18 November 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Ahmad Aqib, dia berasa bertuah dapat mengikuti pameran di INOTEKDESA yang memberi ruang kepada beliau untuk memperkenalkan dan mengetengahkan inovasi serta teknologi percetakan bahkan dapat meningkatkan jaringan perniagaan dan membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang mula menceburkan diri dalam bidang percetakan.

“Terima kasih kepada MARA kerana memberi peluang mempamerkan teknologi percetakan AQB Resorces di program INOTEKDESA 2018 dan  kami dapat meningkatkan jaringan serta memperluaskan perniagaan dengan usahawan dan bakal usahawan di sini” katanya.

Tambah Aqib yang juga Ikon TVET Malaysia, ini adalah penyertaan program di bawah KPLB yang pertama kali dan sambutan amat luar biasa pada hari ini kerana kebanyakan pelanggan yang datang amat tertarik dengan hasil reka bentuk grafik pada baju dan material yang kami sediakan dengan menggunakan mesin sedia ada.

“Kami gunakan kreativiti semaksima mungkin dan material yang jarang orang gunakan dalam menghasilkan sesuatu dengan menggunakan mesin percetakan yang sedia ada di pasaran. Ini membezakan kami dengan syarikat percetakan yang lain,” katanya lagi.

Kesudian Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun melawat ke pamerannya amat memberi kesan positif kepada beliau untuk lebih maju dalam bidang yang diceburinya.

“YB Datuk Seri Rina amat bangga dengan hasil reka bentuk name tag yang kami jadikan visual wajah Menteri, dan beliau sempat menandatanganinya sebagai koleksi unik kami” tambah beliau.

Aqib juga menggalakkan para usahawan untuk datang dan mencari peluang baru dengan melihat sendiri pelbagi pameran mesin yang dapat meningkatkan kecekapan operasi di INOTEKDESA 2018.

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.