Kolong hidupkan semangat usahawan tani muda

MOHD Iskandar (kanan) dan Abdul Rahim gembira selepas JPS membina kolong laluan air dari parit di kebun cilinya ke terusan di Jalan Benteng, Kampung Ladang berhampiran KUIM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. – NSTP/Hassan Omar

ALOR GAJAH: Seorang usahawan tani muda yang hampir `gulung tikar’ selepas lebih 1,300 beg poli cili padinya musnah akibat banjir Julai lalu, kini kembali bersemangat untuk berniaga.

Ini berikutan usaha Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membina kolong laluan air di kebunnya di Jalan Benteng, Kampung Ladang berhampiran Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini.

Mohd Iskandar Abdul Rahim, 22, berkata dia dan bapanya, Abdul Rahim Talib mengeluarkan kos membina parit sepanjang 100 meter dalam kebun.

Katanya, JPS turut membantu membina kolong laluan air dari parit itu terus ke terusan sejauh kira-kira 50 meter dari kebun, minggu lalu.

“Mereka (JPS) terpaksa mengorek lubang di jalan kampung bersebelahan kebun untuk memasang kolong itu dan sekarang kebun kami tidak lagi diancam banjir,” katanya ketika ditemui di kebunnya, hari ini.

Mohd Iskandar yang memiliki Diploma Teknologi Pemprosesan Plastik dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) berkata, dia tidak mahu masalah banjir yang melanda kebunnya sebelum ini menamatkan usaha dan minatnya yang mendalam dalam sektor pertanian, khususnya penanaman cili padi.

“Dengan siapnya kolong ini, saya sudah memulakan usaha menambah 1,000 lagi beg poli cili padi dan yakin kebun tidak lagi diancam banjir,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada JPS kerana sanggup mengeluarkan kos mengorek lubang laluan kolong, sekali gus membolehkan air dari kolam takungan di kebun itu mengalir ke terusan.

“Hasil perbincangan saya dengan pemimpin kampung ini, Jabatan Pertanian dan JPS negeri, saya mengeluarkan kos agak tinggi untuk membina parit dalam kebun ke kolong yang dibina JPS,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan masalah banjir yang mengancam usahawan tani muda itu berikutan hujan lebat sejak awal Julai lalu menyebabkan kebun dinaiki air kerana kolam tadahan yang dibina melimpah.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/10/492710/kolong-hidupkan-semangat-usahawan-tani-muda

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.