MARA Lahir Modal Insan Benci Rasuah

Dato’ Ja’afar Mahad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama pemenang Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) 2018.

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

‘Kawal dahulu, sebelum ia menjadi barah rasuah dalam kehidupan, kawal dari akar umbi’, Muhammad Jazlie Jabarudin, pelajar Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur, Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir Debat Antirasuah IPMa 2018.

Masalah rasuah ini boleh dianggap sebagai penyakit barah jika tiada tindakan pencegahan awal diambil dan akan menular menjadi lebih parah serta sukar untuk dirawat. Pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca, antaranya wujud sikap tamak dalam diri individu yang terlibat.

Sikap tamak atau keinginan untuk cepat kaya kebiasaannya akan mendorong individu tersebut mengambil jalan mudah dengan menerima suapan daripada pemberi rasuah kerana mereka hilang sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri sendiri.

Pertandingan Debat Antirasuah IPMa 2018 telah diadakan julung kalinya pada 30 Oktober 2018 bertempat di Malaysian France Institute (MFI) Bangi, bertujuan memberi pendidikan, pengetahuan dan pendedahan tentang pengukuhan integriti kepada pelajar, keluarga, masyarakat dan negara sekaligus melahirkan modal insan benci rasuah.

Menurut Ketua Pengarah MARA Dato’ Azhar Abdul Manaf, MARA komited dalam memerangi rasuah dengan pelbagai program contohnya mewajibkan setiap warga MARA di setiap pusat dan juga susidiari menandatangani Ikrar Integriti Korporat MARA sejak tahun 2012 lagi.

“Komitmen MARA dalam memperkasa integriti dikalangan warganya telah diperkukuhkan dengan penubuhan Unit Integriti MARA pada 1 Oktober 2012 yang mana unit ini bertindak dalam memastikan budaya kerja berintegriti dapat diterapkan dalam kalangan warga MARA,”   katanya.

Tambah beliau, penganjuran Pertandingan Debat Antirasuah ini adalah salah satu pengisian tambahan yang memberikan impak yang positif disamping program sedia ada yang telah dilaksanakan di bawah Sekretariat Pencegahan Rasuah, Institut Pendidikan MARA (SPR IPMa).

Institusi pendidikan menjadi medium perantara terpenting dalam menangani gejala rasuah dalam masyarakat. Melalui usaha pendidikan yang berkesan serta berterusan, para pelajar mendapat gambaran dan pengetahuan yang lebih jelas tentang isu rasuah, kesan buruknya terhadap diri mereka dan juga orang sekeliling serta mekanisme menangani gejala rasuah.

KUPTM menjadi juara dalam Pertandingan Akhir Debat Antirasuah IPMa 2018. Manakala tempat kedua serta ketiga masing-masing dimenangi oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) (Business School) dan Kolej MARA Kuala Nerang.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.