
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan Anugerah Berlian kepada Nurul Jannah Athira Zainal ketika Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), turut kelihatan waris kepada Nurul Jannah Athira Zainal, Norbahiah Zakaria (kiri) dan Rokiah Abas. – Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
PUTRAJAYA: Pesanan seorang guru supaya mendalami pengajian Bahasa Inggeris mendorong Nurul Jannah Athira Zainal melanjutkan pelajarannya dalam bidang itu di peringkat pendidikan tinggi.
Kini, graduan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur boleh berbangga berjaya menamatkan pengajian.
Lebih manis, Nurul Jannah Athira, 21, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Berlian, anugerah tertinggi daripada institusi itu kerana kecemerlangannya sepanjang pengajian.
Berasal dari Kulim, Kedah, beliau berkata, walaupun bahasa Inggeris bukan bahasa pertuturan harian dengan keluarga, cita-citanya untuk bergelar pensyarah Bahasa Inggeris sentiasa menjadi pembakar semangat untuknya.
“Saya mula minat mendalami bahasa Inggeris di sekolah menengah selepas seorang guru memberitahu saya perlu meneruskan pengajian dalam bidang Bahasa Inggeris untuk peluang kerja yang lebih cerah.
“Cabaran dalam TESL ini, biasanya bahasa pertuturan kita adalah bahasa Melayu, jadi bila nak belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, kita perlu lebih rajin dan berusaha memahaminya.

PENERIMA Anugerah Berlian, Nurul Jannah Athira Zainal dan Muhammad Haziq Nordin berbual selepas Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
“Alhamdulillah, kejayaan ini adalah permulaan untuk saya meneruskan cabaran dan kini saya mengikuti pengajian TESL di peringkat ijazah di KUTPM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ketiga KUPTM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan Korporat KUPTM yang menjalankan tugas Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA, Nordin Ahmad.
Seorang lagi penerima Anugerah Berlian, Muhammad Haziq Nordin, 25, berkata kejayaannya itu sebagai membalas jasa ibu bapanya yang tidak pernah berhenti berdoa serta memberi sokongan kepadanya.
“Ketika ini, saya sedang berkhidmat sebagai Eksekutif Pentadbiran / Perolehan di sebuah syarikat dan pada masa sama dalam proses melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
“Setiap kejayaan ada kisah yang tersendiri. Saya percaya setiap usaha perlu bergantung kepada Allah dan insya-Allah akan berakhir dengan kejayaan sempurna,” kata anak kelahiran Melaka itu.
Pada majlis konvokesyen dua hari sehingga esok itu, seramai 5,202 graduanmenerima sijil masing-masing termasuk 4,199 graduan dari lapan kampus KPTM dan 1,003 graduan dari KUTPM Kuala Lumpur.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/488335/pesan-guru-jadi-azimat