KUPTM sasar jadi universiti penuh 2020

PUTRAJAYA – Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), institusi pengajian tinggi milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk mencapai taraf universiti penuh pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nordin Ahmad berkata dari segi kemajuan, KUPTM sebenarnya sudah berada ditahap 60 peratus untuk mencapai status tersebut berdasarkan perkembangan dalam akademik, penyelidikan serta program yang ditawarkan.

Beliau berkata komitmen itu turut diserlahkan melalui pemerkasaan inovasi, aktiviti dan penglibatan pelajar, terutama di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk aspek kebolehpasaran graduan.

“Satu jawatankuasa pemandu juga telah ditubuhkan bagi memastikan matlamat yang seiring hasrat Mara serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dicapai dalam tempoh disasarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen KUPTM di sini hari ini.

Majlis itu yang melibatkan seramai 1,003 graduan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

Nordin berkata beberapa langkah penting turut dilaksanakan, antaranya menyusun semula jabatan-jabatan akademik agar dapat memberikan lebih tumpuan kepada program-program pengajian pascasiswazah dan prasiswazah.

Beliau berkata kakitangan akademik juga digalakkan untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah melalui Skim Sambung Belajar dan stakat ini 16 pensyarah KUPTM sedang menyambung pelajaran melalui skim tersebut.

Nordin berkata dalam menambah baik kualiti pendidikan, pihaknya melaksanakan sistem pengajian secara trimester bermula Mei 2017, sekaligus mengurangkan tempoh bergraduat pelajar dengan jumlah jam kredit yang sama berbanding amalan dua semester dalam setahun.

Beliau berkata langkah tersebut menjadikan program di KUPTM lebih kompetitif dengan tempoh bergraduat yang pendek, satu langkah memastikan graduan mencapai peluang pekerjaan lebih dahulu berbanding pelajar di institusi pengajian tinggi lain.

Sejaik dinaiktaraf daripada Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur pada 2015, KUPTM yang menawarkan 20 kursus di pelbagai peringkat pengajian turut memiliki 58 pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, katanya. – Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/kuptm-sasar-jadi-universiti-penuh-2020-1.894251

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.