Hari Sukan Negara 2018 Peringkat KKTM Ledang Berlangsung Meriah

Timbalan Pengarah KKTM Ledang, Rahim Selamat (bertopi) bergambar kenangan sebelum acara perlepasan colour run sempena Hari Sukan Negara 2018 Peringkat KKTM Ledang

Oleh:
Muhamad Nurhadi@KKTM Ledang

TANGKAK, 13 Oktober – Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang telah mengadakan Sambutan Hari Sukan Negara 2018 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) KKTM dengan kerjasama Kelab SAIKEL, kelab KKTML Runners & kelab rugbi Mammoths KKTM Ledang.

Acara bermula seawal jam 7.00 pagi itu disertai seramai 800 peserta di kalangan pelajar dan warga kerja KKTM Ledang, kelab rugbi sekitar Johor, Melaka dan Selangor serta penduduk sekitar yang turut hadir bersama ahli keluarga meluangkan masa bagi menyertai acara yang dianjurkan.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti Colour Run, kayuhan Fun Ride, Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s dan perlawanan e-sport seperti Pro Evolution Soccer 2018 (PES2018).

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, sambutan Hari Sukan Negara (HSN)@KKTM Ledang hari ini merupakan platform terbaik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat melalui acara sukan sukan disamping mengeratkan silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan warga KKTM Ledang bersama masyarakat sekitar, katanya semasa majlis penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s.

Sambutan HSN kali ini telah dimulakan dengan aktiviti zumba yang telah diketuai oleh Ainiena Syafienasz Rusman, pelajar Program Radiologi dan Pengimejan KKTM Ledang dan diteruskan dengan perlepasan acara Colour Run yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah KKTM Ledang, Rahim Selamat.

Sementara itu, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s setelah menewaskan kelab rugbi Iskandar Troopers dari Mersing. Bagi kategori wanita, pasukan SMK Seri Pulai muncul johan manakala kelab Mammoth RC KKTM Ledang sekadar berpuas hati selaku naib juara.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.