HOTEL PREMIERA MESRA ISLAMIK

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Hotel Premiera dianugerahkan The BrandLaureate World Halal Bestbrands Awards 2018 bagi kategori Hospitaliti-Hotel di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 27 September 2018.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated  Sdn. Bhd Khairul Azizi Ismail,  penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan MARA Inc subsidiari MARA sebagai organisasi yang sentiasa memastikan pengurusan dan operasi hotel mesra Islamik berada tahap terbaik bukan sahaja dari segi penyediaan makanan tetapi juga tatacara kerja.

“Hotel Premiera mengutamakan penyediaan makanan yang halal dan ‘Surau Silaturahim’ dijadikan platform khas untuk aktiviti kemasyarakatan (CSR) dan aktiviti ilmiah  berbanding hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menariknya, staf hotel dibenarkan untuk berhijab manakala minuman beralkohol tidak dihidangkan dan dilarang pengunaan nya di majlis majlis hotel. Bilik bilik hotel juga ada menyediakan kemudahan bersolat seperti telekung dan sejadah.

Tambah beliau, anugerah kejayaan ini diharapkan akan menjadi pendorong kepada warga kerja MARA Inc dan Hotel Premiera untuk terus cemerlang dan menggandakan prestasi perkhidmatan.

“Hari ini kita mencipta kejayaan di arena tempatan dan kita juga berharap dapat mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat. Bookmark the permalink.