Trio lelaki ungguli Debat Piala MB Perak

HAZIQ FIKRI (tengah) bersama Hafiy Fayyadh (kiri) dan Ahmad Abied bergambar bersama piala dan replika cek yang diterima selepas menjadi juara Debat Piala Menteri Besar Perak di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar hari ini. – UTUSAN ONLINE/KU SYAFIQ KU FOZI

KUALA KANGSAR 7 Okt. – Pasukan dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar muncul johan Debat Piala Menteri Besar Perak kategori bahasa Melayu yang diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini hari ini.

Walaupun menduduki tempat kedua terakhir dalam peringkat saringan, pasukan yang dibarisi tiga pendebat lelaki itu memberikan persembahan terbaik pada peringkat separuh akhir dan akhir untuk memastikan piala berprestij itu milik mereka.

Penerima anugerah Pendebat Terbaik Akhir, Muhammad Haziq Fikri Zulkifli, 15, bersyukur dengan kemenangan tersebut dan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kedua-dua ibu bapanya yang banyak menyokong penglibatannya dalam bidang debat selama ini.

“Ini semua rezeki daripada Allah. Saya harap saya boleh terus belajar supaya dapat meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa.

“Saya yakin kemenangan ini adalah hasil daripada kerjasama berpasukan saya dan rakan-rakan. Hanya pasukan yang mantap boleh hasilkan keputusan yang mantap,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, di sini hari ini.

Bertindak sebagai pembangkang kepada usul Sudah Tiba Masanya, Had Umur Mengundi Perlu Dikaji Semula, MRSM Sultan Azlan Shah menewaskan pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasek, Taiping pada pertandingan akhir.

Selain Haziq Fikri, pasukan tersebut turut dianggotai Muhammad Hafiy Fayyadh Mohd. Haizal, 15, dan Ahmad Abied Mohd. Hazbir, 15.

Sementara itu, penerima anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan, Puteri Nurul Aini Zainal Abidin, 16, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al-Islah, Teluk Intan bertekad untuk terus berusaha membawa kejayaan kepada sekolahnya walaupun tewas di peringkat separuh akhir kali ini.

Dia yang berjaya menjadi pendebat terbaik dalam ketiga-tiga sidang debat peringkat saringan berharap pasukannya akan berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam pertandingan yang akan datang.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, khususnya kepada keluarga, kawan-kawan dan pasukan debat saya,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/trio-lelaki-ungguli-debat-piala-mb-perak-1.762540

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.