KKTM Ledang Naib Johan Pertandingan Zapin Johor 2018

Pasukan Zapin Puteri KKTM Ledang bergambar kenangn bersama Pegawai Daerah Tangkak.

Oleh:
Muhamad Nurhadi Salleh@KKTM Ledang

TANGKAK, 8 Oktober – Kumpulan Zapin Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang muncul naib johan Pertandingan Zapin Johor 2018 Peringkat Daerah Tangkak yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, sekali gus membolehkan kumpulan yang diwakili oleh Kumpulan Tarian Puteri KKTM Ledang itu membawa pulang RM500 dan piala iringan.

Seramai 200 peserta zapin daripada 20 pasukan sekitar Daerah Tangkak mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Tangkak serta Pejabat Daerah Tangkak.

Setiap kumpulan diwakili 10 orang peserta telah bertanding dalam lima (5) kategori berbeza iaitu kategori terbuka (A), kategori jabatan kerajaan, kategori sekolah rendah, kategori sekolah menengah, dan kategori bukan melayu telah diadili oleh juri daripada Yayasan Warisan Johor.

Pasukan Kelab Kesenian Cempaka Sari muncul sebagai johan pertandingan kategori terbuka (A) manakala Pasukan Zapin Puteri KKTM Ledang terpaksa berpuas hati ditempat kedua.

Bagi kategori jabatan kerajaan telah dimenangi oleh Kumpulan Sang Saka Biru manakala Kelab Zero Four Batch Dancer menjuarai kategori bukan melayu.

Seterusnya bagi kategori sekolah menengah diungguli oleh Kumpulan Zapin Tari Kencana SAMURA dari Sekolah Menengah Sains Muar manakala bagi ketegori sekolah rendah dimenangi oleh Kumpulan Warisan Seni Budaya dari Sekolah Rendah Sengkang.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tangkak, Hj Mahadon Bin Marnin. Hadir sama Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Bin Ismail, Ahli Yayasan Warisan Johor serta ketua – ketua jabatan seluruh Daerah Tangkak.

Pertandingan Zapin Johor ini juga dimeriahkan dengan persembahan selingan Tarian Zapin Kanak-Kanak dari Tabika KEMAS dan Zapin Lambak.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.