MARA naib juara Kawad Kecekapan Keselamatan Peringkat Kebangsaan

TERENGGANU, 5 Oktober – Pasukan MARA Emergency Response Team (MERT) yang mewakili Wilayah Persekutuan muncul naib juara bagi pertandingan Kawad Kecekapan Keselamatan Peringkat Kebangsaan bagi kategori Organisasi Keselamatan Kebakaran di Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu pada 1 hingga 4 Oktober 2018.

Menurut ketua pasukan, Muhamad Na’im Bin Ghazali, ia satu kejayaan yang amat membanggakan buat pasukan yang pertama kali mewakili Wilayah Persekutuan ke pertandingan ini.

“Tidak sangka, kami dapat naib juara kerana ada ramai kontinjen yang lebih bagus,” katanya.

Tambahnya, kejayaan ini hadir kerana ahli pasukan fokus dan memberi komitmen dalam melaksanakan setiap aktiviti yang diberikan.

Dalam pada itu, Muhamad Na’im serta ahli pasukan MERT turut bersimpati dengan tragedi yang menimpa anggota bomba semasa menjalankan misi menyelamatkan mangsa lemas di Puchong baru-baru ini.

“Kesempatan ini, kami ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia di atas pemergian anggota yang terkorban. Mereka adalah wira kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Pasukan MERT Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik yang mewakili negeri Kedah juga mendapat tempat ke empat.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.