LVD Yakin Kebolehan GMI Memperkasakan TVET Di Malaysia

Yusoff Md Sahir , Pengarah Urusan GMI dan Joshua Tan, Pengurus Besar LVD (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman sambil disaksikan wakil kedua-dua pihak dan Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire.

KAJANG, 4 Oktober 2018 – German-Malaysian Institute (GMI) menerima seorang tetamu kehormat ke kampusnya di Kajang. Tuan Yang Terutama Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire tiba di GMI jam 9.30 pagi. Kehadirannya ialah untuk menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara GMI dan LVD (M) Sdn Bhd.

LVD, ialah sebuah syarikat multinational yang berasal dari Belgium adalah merupakan pengeluar terkemuka peralatan kerja logam lembaran/plat seperti laser cutting systems, punch presses, press brakes, guillotine shears dan sistem automasi peringkat pertengahan (mid-level automation systems).

LVD menyediakan produk dan teknologi untuk Revolusi Industri 4.0 yang memudahkan perkilangan dan pembuatan pintar dilaksanakan. Sementara peranan GMI dalam perkongsian pintar ini ialah sebagai penyedia latihan, projek-projek konsultansi, latihan praktikal dan peluang pekerjaan untuk graduannya. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bersama-sama menerokai peluang–peluang kepakaran dan teknologi lain di masa hadapan.

Bahkan, GMI sejak tahun 2014 lagi telah memiliki kelengkapan mesin peralatan logam lembaran/plat yang lengkap dari LVD iaitu bending, punching, laser cutting dan integrated software:

1) PPEC-4 Compact 35/15 – Press Brake
2) ToolCell 135/30 – Press Brake with automatic tool changer
3) Strippit V30-1225 – Turret Punch Press with robotic pick-sort system
4) Sirius 3015 Plus 4kw – Co2 Laser Cutting machine with Flexible Automation (FA-L) System
5) MVS-TS 6/31 – Shearing Machine
6) CADMAN JOB Software

Majlis ini juga diserikan dengan perasmian Pusat Teknologi GMI yang baharu iaitu The ‘GMI Sheet Metal Processing Technology Center’. Pusat teknologi yang menempatkan mesin-mesin LVD telah mula digunapakai sejak tahun 2016 sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar GMI. Mereka adalah pelajar diploma dalam Sheet Metal Fabrication & Product Development.

Encik Joshua Tan, Pengurus Besar LVD Malaysia dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada GMI kerana memberi peluang kepada LVD untuk turut sama memainkan peranan dan sumbangan industri dalam bidang akademik, teknologi dan kemahiran bagi mendidik generasi muda negara. Ini adalah kerana menurutnya, Malaysia sangat kekurangan tenaga sumber manusia yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi seumpama ini.

Majlis ini menyaksikan GMI diwakili Dato’ Dr Ir Andy Siow , ahli Lembaga Pengarah GMI, Yusoff Md Sahir, Pengarah Urusan GMI, Joshua Tan, Pengurus Besar LVD Malaysia dan Mr. Matthew Foles – Pengurus Kumpulan LVD dan Tuan Yang Terutama Duta Besar Belgium ke Malaysia Pascal Gregoire sebagai saksi kepada perjanjian dua hala ini.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.