Pelajar MRSM menjadi wali nikahkan dua kakaknya setelah pemergian bapa

Oleh: Syaza Amira
media@mara.gov.my

MELAKA – Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar, Johor telah melakar sejarah tersendiri apabila berani memikul amanah menjadi wali kepada dua orang kakaknya dalam dua majlis pernikahan yang berbeza.

Muhamad Amierul Adlie Basiran yang baru sahaja berumur 14 tahun ini telah menjalankan peranannya sebagai anak tunggal lelaki dari 5 beradik sekaligus membuatkan dirinya tampak lebih matang dari usianya yang sebenar.

Pada bulan Ogos lalu, Amierul telah bertanggungjawab memandikan jenazah arwah bapanya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser. Pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh bapanya (Basiran Ali) agar mengambil alih tugasnya menjaga keluarga dipegang erat oleh Amierul.

Ibunya, Rosiah Othman melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan merasa amat bangga dengan keberanian Amierul.

Bukan kecil tanggungjawab yang dilaksanakan oleh remaja berusia 14 tahun ini bahkan orang yang lebih tua juga mungkin tidak dapat melakukannya.

Kematangan Muhamad Amierul jelas membuktikan bahawa sistem pendidikan MRSM berjaya membentuk sahsiah diri yang positif dalam kalangan pelajar dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.