MARA Emergency Response Team bersedia uji mental dan fizikal

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Azhar Abdul Manaf hari ini menyempurnakan majlis penyerahan bendera MARA kepada sembilan peserta MARA Emergency Response Team (MERT) yang mewakili Wilayah Persekutuan ke pertandingan Kawad Kecekapan Keselamatan Peringkat Kebangsaan di Lobi Medan MARA, Kuala Lumpur.

Antara peserta MERT berkenaan ialah Mohd Faizal Halipah, Muhamad Na’im Ghazali, Norazizi Mohamed, Saiful Zehan Mohd Jabar, Mohamad Hairi Salim, Azreen Roslan, Sri Yanti Sikirman, Mohamad Izzuan Iskan dan Che Eddy Azhar Che Zolkepeli.

Kontinjen terbabit bakal bertanding di Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu bermula pada 2 hingga 4 Oktober 2018.

Dato’ Azhar berkata, setiap ahli pasukan MERT mesti memastikan diri sendiri bukan sahaja dalam keadaan bersedia malah fizikal juga mesti fit supaya cergas dan pantas ketika menjalankan operasi.

Tambah beliau, kejayaan pasukan MERT menjadi juara dalam pertandingan peringkat Wilayah Pesekutuan baru-baru ini bukan sekadar untuk menguji kebolehan ahli pasukan untuk menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.

“Apa yang lebih penting adalah untuk masing-masing menguji ketahanan mental dan fizikal juga sentiasa bersedia di dalam apa jua operasi sebagai anggota MERT,” katanya di sini.

Beliau berharap pasukan MERT akan berusaha bersungguh-sungguh supaya mampu membawa pulang kemenangan.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.