Taufek tidak pernah jemu derma darah

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Pembaca berita TV9 juga warga kerja Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mohd Taufek Mohd Noh memberitahu, beliau tidak pernah jemu untuk menderma darah dan mula aktif menderma darah ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

“Saya mula menderma darah di Jusco Taman Universiti, Skudai. Pada waktu itu saya masih belajar di UTM. Selepas itu saya terus aktif melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau rasa sedikit kecewa dengan tahap kesedaran masyarakat menderma darah di negara ini yang masih rendah.

“Sekali kita menderma darah, ia mampu menyelamatkan tiga nyawa. Kita perlu ingat benda ini bagus dan tidak rugi kita derma darah. Kita akan dapat darah baru dan kesihatan yang baik,” katanya ketika menderma darah di Lobi Medan MARA, Kuala Lumpur.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan kerjasama MARA menjemput orang ramai menderma darah melalui Kempen Kesedaran Kesihatan & Derma Darah yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Program diadakan bagi memastikan bekalan darah di hospital mencukupi untuk kegunaan pesakit.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berkunjung ke Lobi Medan MARA, Kuala Lumpur selewatnya pada pukul 5 petang ini.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.