Tuah ‘The Journey Of Our Life’ Harumkan Nama MARA

Mohd Yazid Mohd Shariff (depan kiri) dan pasukan bergambar kenangan bersama piala kemenangan Seri Endon Batik Competition 2018

oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 20 September – Pensyarah, guru serta usahawan tekno MARA berjaya meraih tempat ke-2 Piala Seri Endon Batik Competition 2018 kategori kemasan lembut (Soft Funishing) yang telah berlangsung pada 9 September 2018 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Menurut ketua pasukan juga pensyarah IKM Alor Setar, Mohammad Sallehuddin Yahaya, rekaan ini mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan dengan bantuan dan kerjasama rakan sepasukan, guru MRSM Bentong, Mohd Yazid Mohd Shariff dan dua usahawan tekno daripada Tekno Usahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Fabrik (UPF) IKM Alor Setar, Noor Farah Wahida Mohd Razali dan Nur Afifah Tajul Ashikin.

“Dalam penyertaan kali ini kami metitikberatkan pemilihan warna yang memenuhi citarasa orang muda, tidak mahu dilihat terlalu klasik ataupun tradisional. Oleh itu, kami mengambil pendekatan menerapkan warna yang lebih lembut supaya tampak moden dan elegan,” katanya.

Konsep yang dipaparkan dalam karya ini menggunakan litar elektronik yang menggambarkan laluan kehidupan sementara komponen-komponen elektronik menggambarkan cabaran yang ditempuhi oleh seseorang, jelas beliau mengenai rekaan yang dinamakan “The Journey of Our Life”.

“Suntikan inovasi ini telah memberi nafas baru kepada penghasilan batik Malaysia dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Pasukan ini telah memenangi Piala dan Wang Tunai RM10,000 dan berjaya menewaskan 8 finalis yang lain bagi kategori yang sama.

“Kami berharap pasukan ini dapat memberi aspirasi untuk terus mengorak langkah lebih jauh lagi pada masa akan datang dengan menghasilkan pelbagai rekaan batik yang mampu bersaing di persada global,” ujarnya.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.