MARA popularkan trend perniagaan food truck

Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof mengunjungi usahawan food truck di MERCU 2018.

Melaka, 23 September – MARA Negeri Sembilan proaktif mempopularkan trend perniagaan food truck sempena program Aspirasi Keusahawanan Bumiputera (MERCU) Peringkat Zon Selatan di sini.

Menurut Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof, usahawan food truck adalah bidang yang sesuai untuk diceburi oleh mereka yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan terutamanya golongan belia.

“Para usahawan sedia ada disaran beralih kepada food truck terutamanya bagi mereka yang hadapi masalah kos sewaan premis yang tinggi dan lokasi perniagaan tidak strategik,” katanya lagi.

Dalam hal ini, Mimi Mazlin berkata, food truck menawarkan penyelesaian kedua-dua masalah itu malah alternatif ini menjadi trend yang kini semakin popular.

Seramai 32 usahawan food truck daripada Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menyertai program ini.

“MERCU bukan sahaja platform usahawan food truck mempromosikan produk mereka, malah ia menyediakan tapak niaga yang strategik di samping nilai tambah aktiviti trend terkini yang menarik minat pengunjung. Secara tidak langsung, ia membantu melariskan jualan mereka,” tambah Mimi Mazlin.

MARA menawarkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM) kepada para usahawan perniagaan bergerak yang menggunakan kenderaan, kontena, kabin atau karavan.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.