MELAKA 23 September- MARA terus komited menggalakkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) melalui CyberGo Biz Challenge sempena MERCU 2018 di Melaka International Trade Center (MITC), Melaka pada 21 hingga 23 September 2018.
Menurut Timbalan Pengarah, Bahagian Kemahiran Dan Teknikal (BKT) MARA, Kamarul Arifin Mahumdin, adalah penting untuk melatih dan melengkapkan pelajar-pelajar MARA dengan kemahiran ini dalam melahirkan modal insan berminda keusahawanan.
Melalui inisiatif program oleh BKT dan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), CyberGo Biz Challenge melibatkan 10 pasukan dari IPMa zon selatan yang terdiri dari UNIKL MFI, KKTM Masjid Tanah, IKM Jasin, GIATMARA Melaka, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Alor Gajah, MRSM Terendak dan MRSM Gemencheh.
Program ini antara lain memberikan pengalaman secara hands on kepada pelajar melalui aktiviti face to face dan jualan secara online, selain memasarkan dan meningkatan jualan produk usahawan MERCU.
“Kami ingin menanam sifat dan minat keusahawanan dalam kalangan pelajar IPMa yang secara tidak langsung akan melatih mereka untuk berdikari dengan menguasai kemahiran perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran pelbagai produk.
“Ini seterusnya akan menjadikan kemahiran keusahawanan sebagai kerjaya pilihan serta sumber pendapatan alternatif selepas mereka tamat belajar,” kata Kamarul Arifin.
Program berkenaan berlangsung tiga hari dan diperkenalkan di MERCU bagi memperkasakan program keusahawanan digital di IPMa melalui MARAStartup Accelerator Edupreneur Model (MSEAD).
Dalam pada itu, penganjur berharap agar program ini mampu menjadi agen perubahan kepada pelajar-pelajar IPMa yang lain.
“Dengan 30 orang pelajar yang terlibat ini, kita harap mereka akan menjadi satu ejen perubahan dan promosi CyberGo Biz Challenge di pusat IPMa mereka. Secara tidak langsung, ini akan menarik minat pelajar-pelajar lain untuk turut serta program ini pada masa akan datang,” katanya lagi.
Antara tugasan utama program ini adalah jualan secara offline dan online melalui platform Facebook, Instagram dan Whatsapp serta pitching pemasaran produk kolaborasi usahawan yang terlibat di dalam MERCU.
Tempat pertama CyberGo Biz Challenge kategori menengah dimenangi oleh pasukan Masyuk.Co dari MRSM Gemencheh dan kategori dewasa dimenangi oleh pasukan Asyura dari KKTM Masjid Tanah. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM1000.