Peluang golongan muda ketengah idea

oleh A.Nazirul @ MARA Johor

Melaka, 22 September 2018- MARA Negeri Johor mengambil langkah progresif membangunkan ekosistem perniagaan dengan lebih meluas melalui pelaksanaan “Business Pitching” sempena program Aspirasi Keusahawanan Bumiputera (MERCU) Peringkat Zon Selatan di sini hari ini.

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, program ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan muda, para pelajar dan lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) membentangkan idea-idea baru perniagaan yang dinilai oleh juri-juri profesional.

“Seramai 150 usahawan muda dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menyertai program ini yang mana pemenang akan menerima medal, wang tunai melebihi RM 6,000 serta pakej kemudahan di bawah program pembangunan usahawan MARA,” katanya.

Di bawah ekosistem bersepadu keusahawanan, tindakan susulan juga dipastikan akan diambil terhadap peserta program ini bagi membangunkan perniagaan mereka melalui idea yang diketengahkan” katanya.

Nor Hashimi menambah, idea-idea perniagaan baharu khususnya dari usahawan muda amat diperlukan selari dengan keadaan semasa apatah lagi kita kini berada di revolusi industri 4.0.

Program MERCU Peringkat Zon Selatan bermula 21 hingga 23 September merupakan inisiatif menyampaikan kemudahan keusahawanan MARA secara terus kepada orang ramai melalui pengisian pelbagai aktiviti seperti seminar, pemadanan perniagaan, booth pameran dan jualan.

 

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.