Penghayatan Tema “Sayangi Malaysiaku” oleh Warga KKTM Ledang Berjaya

Warga KKTM Ledang bergambar kenangan sempena Sambutan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Ke-61

Oleh:
Afidah Kasim @KKTM Ledang

TANGKAK, 17 September – Seramai 550 warga KKTM Ledang yang terdiri daripada 80 warga kerja dan 470 pelajar telah menjayakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Ke-61 Peringkat KKTM Ledang yang berlangsung di Dewan Al-Khindi KKTM Ledang di sini, hari ini.

Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-61 Peringkat KKTM Ledang itu telah dirancang dengan teliti oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KKTM Ledang dengan menggabungkan elemen patriotisme dan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti Zumba dalam satu program.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, program tersebut bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air disamping penekanan terhadap kepentingan gaya hidup yang lebih sihat di kalangan warga KKTM Ledang dalam membina Negara yang lebih produktif dan sihat.

Sebahagian warga kerja KKTM Ledang yang memeriahkan Sambutan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Ke-61.

“Program seperti ini diharapkan dapat mengenang kembali jasa dan pengorbanan perwira negara yang terdiri daripada datuk nenek kita terdahulu. Tanpa pengorbanan mereka, maka kita tidak dapat mengecapi keamanan dan perpaduan seperti apa yang sedang kita kecapi sekarang,” tambah beliau sewaktu menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Dalam program yang sama, satu sesi penyampaian hadiah telah diadakan bagi meraikan para pemenang bagi aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang Sambutan Bulan Kemerdekaan ini.

Majlis ditutup dengan aktiviti bergambar kenangan serta pengumuman yang amat membanggakan warga KKTM Ledang iaitu kejayaan kolej menjadi juara dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor dan seterusnya akan mewakili Negeri Johor ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat. Bookmark the permalink.