Dedah pelajar sekolah menengah peluang sambung belajar di bawah MARA

BALING – Seramai 320 pelajar sekolah menengah mendapat pendedahan mengenai peluang melanjutkan pelajaran melalui program Jelajah Luar Bandar anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), kelmarin.

Timbalan Pengarah Pembangunan Pejabat Mara Negeri Kedah, Abdul Karim Awang berkata, program di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Baling itu memberikan input berguna kepada pelajar luar bandar.

Menurutnya, daripada jumlah yang hadir, 100 pelajar adalah tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM), 100 dari Sik dan selebihnya pelajar Baling.

“Kita juga menyediakan reruai bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat berkaitan peluang kemasukan di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

“Program ini mendapat sambutan luar biasa, kita hanya sasarkan kehadiran 100 pelajar namun yang datang lebih daripada Itu,”katanya.

Tambahnya, guru kaunselor sekolah turut hadir bagi berkongsi maklumat kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Beliau berkata, MARA menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian.

“Kita mempunyai GIATMARA dari situ pelajar dapat sambung pengajian di Institusi Kemahiran MARA (IKM) dan kemudian melanjutkan pelajaran di bawah universiti di bawah MARA.

“YPM juga menyediakan Tuisyen MARA kepada pelajar sekitar Baling bertempat di MRSM Baling,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.