Kembara MARA Suburkan Semangat Saling Membantu Dan Cintakan Negara

Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf mengibarkan bendera simbolik pelancaran Kembara Kemanusiaan MARA.

KUALA LUMPUR, 18 September – Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf pagi ini melancarkan Kembara Kemanusiaan MARA anjuran Badan Ugama Dan Kebajikan MARA (BUKM) di Ibu Pejabat MARA di sini sempena sambutan Hari Malaysia 2018.

Dato’ Azhar berkata matlamat utama program yang bertemakan “Kembara, Membuka Tabung Sumbangan Mangsa Gempa Bumi Lombok & Ziarah” ini adalah untuk mencari dana bagi membantu saudara seagama mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

“Saya percaya penjelajahan mereka akan menyuburkan semangat saling membantu dan bekerjasama dalam kalangan warga MARA mengumpul dana bantuan mangsa gema bumi Lombok di samping menyemarakkan lagi semangat cintakan negara sempena Hari Malaysia,” katanya di sini, pagi tadi.

Kembara Kemanusiaan MARA membabitkan 22 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada 17 orang warga kerja MARA pelbagai pusat antaranya ibu pejabat MARA, MRSM Kepala Batas, Kubang Pasu, Baling, Pengkalan Hulu, Kuala Klawang dan KPM Indera Mahkota.

Tambah Dato’ Azhar, kembara itu akan meneruskan penjelajahan ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum tamat di ibu pejabat MARA, Kuala Lumpur.

“Sepanjang penjelajahan konvoi itu, mereka akan berhenti di beberapa pusat MARA terpilih bagi membuka tabung sumbangan mangsa gempa bumi Lombok dan dalam masa yang sama juga turut mengagihkan derma yang dikumpulkan warga kerja MARA kepada golongan asnaf setempat,” katanya.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.