Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my
Tempat kerja selamat, kondusif, sihat, bebas kemalangan dan penyakit adalah sangat penting bagi sesebuah organisasi kerana ianya akan menyumbang kepada peningkatan tahap persekitaran kerja yang menjadi komponen penting kepada kualiti hidup pekerjaan dan produktiviti organisasi.
Sehubungan itu, MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) telah dipilih untuk mewakili Malaysia menghadiri program Occupational Safety and Health Management pada 16 hingga 31 Julai 2018 yang julung kalinya diadakan di Tokyo, Jepun. Apa yang membanggakan, pemilihan ini dilakukan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (Malaysia Employer Federation, MEF) berdasarkan komitmen tinggi MARA Inc dalam menjalankan inisiatif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di organisasinya walaupun MARA Inc adalah salah sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang berskala kecil berbanding MNC (Multinational Company).
Untuk makluman, ahli-ahli MEF adalah terdiri daripada syarikat-syarikat swasta iaitu sebanyak lebih 2,000 syarikat. Pemilihan MEF adalah berdasarkan komitmen sesebuah syarikat dan setiap tahun MEF akan memilih hanya satu daripada syarikat-syarikat tersebut. Justeru, MARA Inc bertuah kerana terpilih untuk mewakili Malaysia memandangkan syarikat swasta lain juga turut bersaing untuk merebut peluang menghadiri program di peringkat antarabangsa seperti ini.

Che Mohd Razali (belakang, empat dari kanan) bersama peserta The Program On Occupational Safety and Health Management and Work Environment Improvement
Menurut Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Zahariah Ahmad, ketika dihubungi berkata, MARA Inc berusaha untuk menjadikan segala hartanah di bawah pengurusan MARA Inc menjadi antara bangunan yang paling selamat dan contoh terbaik dari segi model bangunan, penyediaan fasiliti serta mesra pelanggan yang berdaya saing. MARA Inc sedang dalam usaha meningkatkan dan menyelaraskan struktur Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang mana program ini mempunyai perkongsian rangkaian maklumat dan maklum balas untuk penjimatan kos, penambahbaikkan dan langkah-langkah mengatasi halangan.
“MARA Inc. adalah salah sebuah anak syarikat MARA yang mementingkan soal keselamatan dan kesihatan pekerja dan seterusnya pelanggan. Program ini amatlah berkesan untuk menjadikan MARA Inc. sebagai syarikat yang mempunyai wawasan dan mematuhi segala prinsip yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP),” kata Zahariah.
“Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti negara. Persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan sihat akan menjadikan pekerja sihat, produktif dan berinovasi. Secara langsung, ini menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing organisasi,” ujar wakil MARA Inc ke Tokyo, Che Mohd Razali Che Mohd Noor.