MARA Negeri Johor Memperkasa Penulisan Artikel dan Buletin

Oleh: Muhamad Nurhadi Salleh @KKTM Ledang

Tangkak, 3 September – Pejabat MARA Negeri Johor telah menganjurkan kursus penulisan artikel dan buletin yang bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, bagi meningkatkan kemahiran penghasilan karya berimpak tinggi.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, kursus sehari yang melibatkan lebih 20 warga kerja MARA sekitar Negeri Johor itu adalah bertujuan mendidik serta memberi pendedahan kepada penulis berbakat MARA bagi memperkasa teknik penulisan sekali gus mewujudkan nukilan yang dapat memberi kesan mendalam kepada pembaca.

“KKTM Ledang komited dalam memberi input segar dan berkongsi maklumat kepada masyarakat berkenaan program serta aktiviti yang dijalankan di KKTM Ledang,” beliau berkata demikian semasa hadir ke bengkel itu.

Antara pengisian bengkel ialah penerangan komponen utama dalam gaya penulisan berita, struktur penulisan dan format penulisan berita disamping penyelarasan dalam penghasilan buletin yang menarik.

Pegawai MARA Daerah Tangkak, Shahrulazli Jaafar, selaku perunding cara yang dilantik bagi mengemudi program tersebut melahirkan rasa puas hati dengan tahap kehadiran dan pemahaman para peserta sepanjang kursus tersebut berlangsung.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.