Wira Negara Jayakan Larian MARA Sihat 2018

Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf (tengah) bersama trio sepak takraw negara.

KUALA LUMPUR, 2 September – Wira sepak takraw negara yang memenangi pingat emas di Sukan Asia 2018, Mohd Shahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias memeriahkan program Larian MARA Sihat 2018 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi MARA (KSRM) serta M’Runners Community sempena kemerdekaan ke-61.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf, program Larian MARA Sihat ini bukan sahaja menaikkan semangat kemerdekaan dalam diri warga MARA malah turut memupuk amalan budaya hidup sihat.

“Aktiviti sukan seperti ini perlu menjadi medium setiap pusat MARA bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga MARA selain memberi kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan,” katanya selepas merasmikan kelab M’Runners Community.

Beliau menambah, seramai 350 orang komuniti MARA yang menyertai larian ini terdiri daripada warga kerja MARA dan subsidiari termasuk kakitangan yang bertugas di pusat luar ibu pejabat MARA.

“Menariknya, program kali ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran trio sepak takraw negara,” katanya lagi.

Program ini melibatkan larian dengan jarak 7 kilometer menggunakan laluan ‘KL Free Car Morning’ sekitar Kuala Lumpur.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.