KUALA LUMPUR, 30 Ogos – YBhg. Dato’ Mohamed Roseli bin Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA membuat kenyataan akhbar berhubung kes buli pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, Perak.
Jawatankuasa Disiplin MRSM telah memutuskan untuk menggantung pengajian selama 2 minggu ke atas 3 orang pelajar yang terlibat dalam kes buli pelajar di MRSM Parit pada 27 Ogos yang lalu. Sekiranya terbukti keterlibatan mereka, pelajar-pelajar tersebut akan ditamatkan pengajian.
Jelas Roseli, “Pihak MARA tidak akan berkompromi jika terdapat pelajar maktab yang didapati terlibat dengan gejala bullyism.”
“Pihak MARA akan memberi kerjasama serta membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan mengikut undang-undang ke atas mereka sekiranya mereka terbukti bersalah”, tambah beliau.
MARA memandang serius atas kesalahan yang dilakukan oleh manamana pelajar di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) untuk memastikan hasrat negara melahirkan modal insan yang cemerlang dan berintegriti dapat dicapai.
Sebarang maklumat lanjut boleh didapati melalui pihak Maktab menerusi talian 05-377 5002/ 5003.