MURAL TIMELINE MARA SIMBOLIK PERJUANGAN SECARA VISUAL

Oleh : Lina Mastura Jasmawi
media@mara.gov.my

Khamis, 30 Ogos – Pengunjung-pengunjung di Lobi Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur akan disambut dengan mural timeline sejarah MARA yang menzahirkan tentang sejarah kewujudan MARA yang bermula daripada tahun 1950. Sehingga hari ini, lebih dua juta penerima manfaat yang telah menerima kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh MARA khusus untuk membawa kaum Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi. Maka, lukisan atau mural ini merupakan satu medium pengkisahan tentang sejarah pembangunan, perjuangan serta kejayaan MARA selama lebih 50 tahun kewujudannya yang akan meninggalkan kesan estetik dengan lebih mendalam.

Pada hari ini,  selepas Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-61 bersama warga kerja MARA, YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah turut menzahirkan personal sketch di ruangan mural di Lobi Medan MARA ini dengan diiringi oleh seramai 80 orang anak-anak taska MARA yang hadir dengan menggayakan pelbagai pakaian tradisional masyarakat di Malaysia.

“Mural ini adalah bentuk lakaran santai yang sarat dan padat dengan pengkisahan MARA dan mampu mengujakan semua orang yang melihatnya. Anak-anak taska ini merupakan generasi yang akan mewarisi perjuangan MARA dan negara pada satu hari nanti”, ujar beliau.

Beliau menyeru seluruh warga MARA untuk memahami peranan, sumbangan dan perjuangan agensi keramat ini dengan sepenuh hati agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menjalankan tugasan. Mural ini juga akan memberi impak secara tidak langsung kepada komuniti MARA yang lain seperti pelajar dan usahawan.

Lakaran pengkisahan MARA ini sangat istimewa apabila mendapat sentuhan pakar daripada En. Ahmad Kamal bin Ibrahim yang juga warga kerja MARA. Beliau turut menzahirkan kreativitinya di beberapa tempat seperti di stesen MRT Pasar Seni.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.