Kibaran Jalur Gemilang Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2018

Pengarah Eksekutif DBKL, YBhg. Datuk Hj. Mustafa bin Mohd Nor (tiga dari kanan) menyerahkan jalur gemilang di perkarangan Medan MARA.

Oleh : Lina Mastura Jasmawi
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 29 Ogos  – Seramai 100 orang warga kerja MARA meraikan kempen Jalur Gemilang di perkarangan Medan MARA sekaligus menerima kunjungan daripada YBhg. Datuk Hj. Mustafa bin Mohd Nor, Pengarah Eksekutif DBKL serta rombongan beliau yang hadir menaiki bas Hop On Hop Off (HOHO) dalam satu majlis serahan Jalur Gemilang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Jalur Gemilang merupakan bendera Malaysia yang menjadi lambang kesetiaan dan maruah bangsa, agama dan negara. Maka, simbolik serahan ini adalah untuk menzahirkan semangat patriotik dan nasionalisme bagi mengekalkan perpaduan dan kedaulatan negara kita terutamanya di bulan kemerdekaan ini. Secara tidak langsung, majlis seumpama ini turut menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

“Serahan Jalur Gemilang oleh DBKL ini kami sambut dengan penuh semangat patriotik, tambahan pula, MARA merupakan checkpoint pertama DBKL. Ini juga tanda sokongan padu kami sekaligus menzahirkan rasa cinta kepada negara”, ujar Soffian Haji Mustafa, Ahli Pengurusan MARA.

MARA juga turut melaksanakan pelbagai aktiviti di sepanjang bulan kemerdekaan ini selaras dengan usaha untuk menyuntik semangat patriotisme dan cintakan negara yang melibatkan semua warga MARA seperti Majlis Bacaan Yassin dan Larian MARA Sihat.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.