QuranHour semai budaya mengamalkan ilmu al-Quran

ADUN Serom, Ir. Dr. Faizul Amri Adnan (tengah) semasa hadir ke program QuranHour anjuran KKTM Ledang.

Tangkak, 27 Ogos – Program QuranHour anjuran Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang amat bertepatan dalam menyemai budaya bacaan, mendalami dan seterusnya mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Serom, Ir. Dr. Faizul Amri Adnan, melalui program ini, warga institusi ini bersama-sama meluangkan masa membaca dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran di saping mendapatkan ilmu berkaitan hukum tajwid serta bacaan yang betul secara percuma.

“Usaha seumpama ini wajar dibudayakan kerana selain mendapatkan keberkatan daripada Allah, pemahaman terhadap tafsir al-Quran juga boleh diadaptasikan dalam apa jua fasa kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke program QuranHour anjuran KKTM Ledang di sini hari ini.

Tambahnya lagi, beliau amat tertarik apabila hampir 700 warga KKTM Ledang berjaya yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar berjaya mengkhatamkan al-Quran di program itu.

“Justeru, saya mahu program ini terus dilaksanakan selaras dengan gagasan kerajaan negeri yang mahu jadikan Johor sebagai negara berprestasi tinggi dengan menjadikan al-Quran sebagai teras dan pedoman,” katanya lagi.

Dalam pada itu, program turut diserikan dengan sesi Tadabur Surah Al-Asr yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Academic Sinergi, Ustaz Fazrul Ismail.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.