Stadium Hoki Mercu Tanda Baharu UniKL

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al – Musta’in Billah bersama pasukan hoki UniKL

Oleh : Mfadhly
media@mara.gov.my

BANGI, 20 Ogos – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al – Musta’in Billah hari ini berkenan merasmikan Stadium Tengku Abdullah milik Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sempena sambutan ke- 16 tahun institusi itu di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Rina Mohd Harun, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf serta wakil-wakil dari Kementerian Belia dan Sukan, agensi serta persatuan hoki.

Dibina sejak Ogos 2015, stadium yang dinamakan bersempena nama Pemangku Raja Pahang yang juga merupakan Canselor UniKL ini mempunyai fasiliti termoden mengikut spesifikasi Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan kapasiti 800 tempat duduk penonton.

Dengan nilai 10 juta, stadium ini turut dilengkapi kemudahan lain seperti mini gimnasium, bilik persalinan, dewan tayang dan juga bilik sauna serta ruang kolam ais untuk terapi pemain.

Akan dijadikan pusat latihan dan juga gelanggang rasmi UniKL bagi perlawanan Liga Hoki Kebangsaan, kehadiran stadium ini sekaligus merekodkan institusi ini sebagai kelab hoki pertama di Malaysia yang mempunyai stadium sendiri.

Tengku Abdullah dalam titah ucapan baginda, hasrat pembinaan stadium hoki ini adalah menjadikan UniKL sebagai mercu tanda pusat kecemerlangan pembangunan sukan hoki tanahair.

“Bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang, UniKL turut membantu melahirkan pemain hoki profesional merangkumi aspek mental dan fizikal yang lengkap sekali gus memberi faedah kepada perkembangan hoki negara pada masa akan datang,” titah baginda.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.