MARA Melestari Budaya Integriti

Abd .Latif Osman, Ketua Unit Integriti MARA (tengah) bersama Pengarah MARA Sabah bergambar kenangan bersama peserta program pengukuhan integriti dan tadbir urus zon Sabah

Oleh : Lina Mastura dan Waheeda
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 16 Ogos – Unit Integriti MARA sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu dan memberi kesedaran menerusi strategi membendung peluang kepada gejala rasuah, salah guna kuasa dan juga penyelewengan dalam kalangan warga kerja yang terdedah kepada situasi yang berisiko kepada rasuah.

Komitmen MARA untuk memperkasa integriti dalam kalangan warga kerjanya telah diperkukuhkan dengan penubuhan Unit Integriti MARA ini pada 1 Oktober 2012 yang mana unit ini bertindak dalam memastikan budaya kerja berintegriti dan pencegahan awal kepada dalam kalangan warga MARA termasuk subsidiari MARA dapat diterapkan.

Malah, MARA sentiasa komited dalam memerangi rasuah dengan mewajibkan setiap warga MARA untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat MARA yang melibatkan setiap pusat, subsidiari dan institusi pengajian yang bernaung di bawah MARA sejak dari tahun 2012 lagi.

Baru-baru ini, satu taklimat Jawatankuasa Anti Rasuah dan Ceramah Pengukuhan Integriti Zon Tengah, Negeri Sabah, GiatMARA Zon Tengah, Rural Capital Sdn. Bhd. (RCSB) dan Negeri Sarawak telah dianjurkan. Program yang berlangsung selama 4 hari ini yang bermula pada 13 Ogos 2018 sehingga 16 Ogos 2018 ini melibatkan ahli pengurusan MARA, pengawal pusat dan pegawai perhubungan integriti pusat-pusat MARA. Antara penceramah-penceramah yang terlibat ialah Abd .Latif Osman, Ketua Unit Integriti MARA, YBhg. Dato’ A Samad Kasah, Mantan Pengarah Penmas SPRM dan Pegawai-pegawai dari Unit Integriti MARA.

“Semua warga kerja MARA perlu menghayati konsep integriti supaya mereka berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan nilai amanah yang tinggi”, ujar Abd. Latif  Osman, Ketua Unit Integriti MARA.

Katanya, secara khususnya, program ini bertujuan untuk memberi fokus kepada usaha mencegah budaya tidak berintegriti melalui strategi-strategi membendung dan membanteras gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Sekaligus, usaha ini juga mampu memantapkan nilai integriti secara bersepadu dan holistik.

Menurut Abd. Latif lagi, program seperti ini juga akan dilaksanakan di semua pusat pentadbiran MARA di seluruh negara mengikut zon , yang mana adalah menjadi harapan besar bagi MARA agar usaha untuk mempertingkatkan semangat integriti dalam kalangan warganya ini akan berupaya untuk memelihara agensi ini sebagai sebuah organisasi amanah yang unggul dan diberkati.

Katanya, Selain itu Unit Integriti MARA bersama SPRM akan turut menggerakkan progam sekretariat pencegahan rasuah dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dengan sasaran pelajar melebihi 600 orang. Strategi ini dilihat mampu melahirkan modal insan yang berintegriti melalui peningkatan terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, pengukuhan nilai-nilai integriti dan memiliki kekuatan moral yang ampuh.

“Program seperti ini juga akan memberi pendidikan, pengetahuan dan pendedahan kepada pelajar IPMa, yang mana pengukuhan integriti yang ditanam di dalam program ini amat bernilai kepada pelajar, keluarga, masyarakat dan negara,” kata Puan Hanizah Husin, UniMARA.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.