Guru MRSM Jeli Berjaya Cipta Inovasi Alternatif Ganti Habuk Kayu

Azmy Awang dari kiri) dan Mohd Rahimy Fitry Ismail bersama pingat emas dan sijil yang dimenangi dalam WICO 2018.

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Hasil ciptaan empat (4) guru MRSM Jeli berjaya memenangi pingat emas di World Invention Creativity Olympics (WICO) 2018, Seoul Korea pada 2 hingga 4 Ogos yang lalu dengan Projek Unsaturated polyester resin, Coconut Shell, Nypa Fruitican Endorscarp Composite with Ceiba Pentandra (UPR-CS- NFFE composite with Ceiba petandra).

Inovasi ini dihasilkan oleh sekumpulan empat orang guru MRSM Jeli, terdiri daripada Azmy Awang, Mohd Rahimy Fitry Ismail, Azaizul Ahmad dan Dzulkifli Ghazali.

Azmy berkata, inovasi yang dicipta bersama kumpulannya berjaya menarik minat juri professional antarabangsa kerana berupaya menemukan alternatif baru bagi menggantikan habuk kayu yang kurang ketahanan kepada air.

“Kami menghasilkan ciptaan ini menggunakan buah nipah yang sebelum ini dilihat kurang bernilai. Tempurung kelapa dan kekabu dari pokok kapok juga turut digunakan kerana ujian yang telah dijalankan menunjukkan ianya lebih tahan dan kalis air,”.

Katanya, idea ciptaan kreatif ini menggunakan tempurung kelapa (CS) dan tempurung nipah (NFFE) sangat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan komposit. Kandungan fiber selulosa daripada kapok atau kekabu menunjukkan komposit yang dihasilkan lebih berdaya tahan tekanan, pembakaran dan serangan serangga perosak seperti anai-anai.

Menurut Azmy lagi, objektif kajian ini dilakukan adalah bagi meningkatkan penggunaan pokok nipah dan fiber daripada pokok kapok atau kekabu yang sering dilihat sebagai tumbuhan yang tidak mendatangkan keuntungan dan tidak bernilai.

Inovasi kumpulan ini mendapat pingat emas dan menewaskan 20 kumpulan lain dari pelbagai negara dengan 227 projek.

Rahimy berkata, mereka mengambil masa satu tahun bagi menyiapkan inovasi terbabit dengan bimbingan Dr. Mahani dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan sokongan MRSM Jeli serta Bahagian Pendidikan Menengah MARA.

Katanya, inovasi baharu ini dilihat mampu dikomersialkan memandangkan ia dapat membantu menghasilkan tiles atau mozek dan parkir lantai dengan menggantikan serbuk kayu yang dipadatkan. Disamping itu, ianya dapat meningkatkan pendapatan komuniti masyarakat terutamanya yang berada di kawasan pantai yang membekalkan tempurung kelapa dan nipah.

Kejayaan kumpulan guru MRSM Jeli di peringkat antarabangsa ini memperlihatkan kehebatan anak Malaysia mampu bersaing dengan negara lain seterusnya menjadi aspirasi dan motivasi kepada komuniti MARA.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.