Cempedak Goreng Di Kaki Busana, Menara MARA Laku Keras

 

Pemilik gerai cempedak goreng, Asrul Azwan (kanan) melayan pelanggan yang datang ke gerainya.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ramainya orang beratur! Itulah perkataan pertama terlintas sebaik sahaja tiba di tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim yang telah bermula 8 hingga 11 Ogos 2018 bertempat di Siar Kaki Busana, Menara MARA pada jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Program usahasama FAMA bersama MARA Wilayah Persekutuan dan MARA Incorporated Sdn. Bhd menjadi tumpuan utama warga kota yang mengidamkan buah-buahan tempatan dengan harga yang berpatutan. Melalui program ini, usahawan-usahawan FAMA dapat menjual pelbagai buah-buahan bermusim dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga semasa seperti durian, cempedak, rambutan dan banyak lagi.

Dalam banyak-banyak gerai jualan buah-buahan, gerai jualan cempedak goreng membuatkan ramai pengunjung terpukau dengan keharuman bau cempedak yang sedang digoreng. Pengunjung sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk membeli dan menikmati keenakan cempedak goreng.

Pemilik gerai tersebut Asrul Azwan berkata, sebanyak 250 kilogram telah habis dijual semalam. Keadaan tersebut memaksa beliau terpaksa menenangkan pelanggannya. Apa yang membuatkan cempedak gorengnya istimewa sehingga orang sanggup menunggu adalah kerana ketulenan resipi dan adunan tepung yang tersendiri, rangup dan enak dimakan.

“Saya tidak menyangka sambutan yang amat luar biasa menjual cempedak goreng di siar kaki busana MARA, terima kasih kepada FAMA dan MARA kerana memberi peluang berniaga di sini” kata Asrul Azwan.

Menurut salah seorang pelanggannya, Rizal berkata, kerangupan dan kesedapan cempedak goreng ini adalah sebab utama mereka sanggup beratur panjang dan membelinya lagi pada hari ini.

“Ini sudah kali kedua saya membeli cempedak goreng di sini. Ia sangat rangup dan sedap dimakan”, kata Rizal.

Lebih menarik lagi, gerai cempedak goreng ini turut dikunjungi oleh pelbagai bangsa yang menggemari buah-buahan tempatan. Ternyata buah-buahan tempatan masih lagi menjadi pilihan netizen.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.