KUPTM mengadakan Fiesta Sayangi Malaysiaku sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-61

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Nordin Ahmad merasmikan Fiesta Sayangi Malaysiaku Peringkat KUPTM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Cheras, Kuala Lumpur  mengadakan Fiesta Sayangi Malaysiaku sempena ulang tahun sambutan kemerdekaan negara ke-61.

Program ini merupakan satu sambutan yang berjaya menghimpunkan seluruh warga KUPTM serta pelajar untuk meraikan sambutan pembukaan bersempena bulan kemerdekaan negara ke-61.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Nordin Ahmad berkata, “Pada sambutan kemerdekaan kali ini, kami menekankan sifat sayang dan cintakan kepada diri sendiri, organisasi dan iltizam membangunkan negara dengan sewajarnya.

“Dalam konteks pelajar, pengorbanan sememangnya diperlukan dalam mencapai kejayaan, demi menggenggam segulung ijazah dengan memberikan tumpuan kepada pelajaran, tugasan, kuiz yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Sempena Fiesta Sayangi Malaysiaku, ini merupakan pembukaan sambutan kemerdekaan pada tahun ini di KUPTM. Pelbagai acara dipertandingkan bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ini.

Menurut Ketua Projek, Tun Muzaffa Mukhriz Tun Asrul Saini berkata, program yang dilaksanakan ini pada dasarnya adalah sambutan kemerdekaan negara yang jatuh pada bulan Ogos.

“Program ini dilihat dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum selain menyemai sifat patriotisme dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, kami juga dapat berkumpul beramai-ramai bersama kakitangan KUPTM, secara tidak langsung dapat merapatkan ukhuwah sesama kita,” ujarnya.

Menurut salah seorang pelajar KUPTM, Farah Adilah,”Program ini dapat memupuk semangat satu serambi yang hidup aman dan harmoni, negara yang terdiri daripada pelbagai kaum menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik,” katanya.

Pendekatan ini dilihat sebagai kaedah dalam memupuk semangat cinta dan sayang kepada negara agar tersemat di dalam jiwa pelajar selain dapat memupuk semangat patriotisme generasi yang akan datang.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Timbalan Presiden Akademik KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan Korporat KUPTM (Menjalankan Tugas Naib Canselor), Prof. Dr. Ahmad Othman.

Sumber : https://kampusuols.com/article/422219/Uni-Kita/AKTIVITI-KAMPUS/KUPTM-mengadakan-Fiesta-Sayangi-Malaysia-sempena-Sambutan-Kemerdekaan-Ke-61

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.