Kolej MARA Banting Cipta Kecemerlangan

Salah seorang graduan yang berjaya dalam peperiksaan International Baccalaureate (IB) sempena majlis graduasi Kolej MARA Banting baru-baru ini.

Oleh : Waheeda
media@mara.gov.my

PUTRAJAYA, 2 Ogos – MARA mempunyai satu ekosistem pendidikan yang lengkap bermula daripada pendidikan menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Kolej MARA Banting merupakan antara institusi di bawah MARA yang melaksanakan program “International Baccalaureate” (IB) sebagai persediaan pelajar-pelajar untuk mengikuti pengajian di universiti terkemuka di luar negara.

Kolej MARA Banting mencipta sejarah dengan mencatat rekod lulus keseluruhan 100 peratus yang melibatkan seramai 111 orang pelajar bagi tahun 2018. Lebih membanggakan, keputusan pada kali ini turut membuktikan kecemerlangan di peringkat dunia apabila buat julung kalinya keputusan kesemua 21 subjek telah mencatatkan keputusan melebihi purata peringkat dunia.

Di samping itu juga, dua orang pelajar telah berjaya mendapat ‘perfect score’ dengan markah penuh 45/45 iaitu Saudari Farzana Yah binti Abdul Hanan Yah yang merupakan bekas pelajar dari MRSM Lenggong, Perak dan melanjutkan pengajian ke universiti di Ireland serta saudara Nileash A/L Jeganathan turut berjaya melanjutkan pengajian ke sebuah universiti di Kanada. Kedua-dua pelajar ini bersama dengan 109 orang pelajar yang lain diraikan dalam majlis graduasi oleh Kolej MARA Banting pada 2 Ogos 2018, di JW Marriot Hotel, Putrajaya yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohamed Roseli bin Dol, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA.

Sempena graduasi pada kali ini, juga menyaksikan seramai tiga orang pelajar lagi turut memperolehi anugerah kecemerlangan iaitu saudara Muhammad Iman Danial Husin yang menerima Anugerah Khidmat Masyarakat, saudara Muhammad Ibrahim bin Johari yang menerima anugerah kepimpinan pelajar dan Anugerah Terbaik Keseluruhan telah dianugerahkan kepada saudara Salman bin Ahmad Faris.

Ini membuktikan sistem pendidikan yang dipelopori MARA adalah antara yang terbaik di Malaysia dan dunia.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.