UniKL RCMP lahirkan ahli teknologi farmaseutikal

Para pelajar didedahkan tentang proses pembersihan mesin tablet selepas digunakan.

INDUSTRI farmaseutikal semakin berkembang pesat di negara ini dan Malaysia muncul sebagai pengeksport ke-14 terbesar produk farmaseutikal di Asia pada tahun lalu dengan mengeksport ke lebih 50 negara di seluruh dunia.

Setakat ini, Malaysia mempunyai lebih daripada 100 syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA).

Jumlah itu tidak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan pelbagai kosmetik dan produk kesihatan.

Selaras dengan perkembangan itu, tenaga mahir dalam bidang teknologi farmaseutikal amat diperlukan industri, malah merupakan antara kerjaya yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Bertepatan dengan itu, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) mengambil pendekatan memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal sejak tahun lalu.

Program pengajian selama tiga setengah tahun itu terbuka kepada pelajar lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi selain graduan program Diploma Farmasi atau program Diploma Sains yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Menurut Dekan Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan UniKL RCMP, Prof. Dr. Ahmad Fuad Shamsuddin, program baharu itu berbeza daripada program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Farmasi yang menghasilkan ahli Farmasi, kerana teknologi farmaseutikal tiada komponen klinikal sebaliknya lebih memberi penekanan terhadap aspek-aspek farmaseutikal dan teknikal dalam industri.

“Oleh itu, dengan pengenalan program baharu ini, kita harap dapat melahirkan lebih ramai ahli teknologi dalam bidang farmaseutikal sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri kesihatan dan kosmetik selari dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara maju,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal diperkenalkan bagi menyediakan pelajar dengan penge­tahuan asas dalam disiplin sains yang menjurus ke arah industri farmaseutikal. Penawarannya juga telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Graduan yang berjaya menamatkan pengajian mempu­nyai peluang pekerjaan yang luas dalam pelbagai bidang berkaitan dengan industri farmaseutikal seperti pembangunan dan pe­nemuan ubat, penilaian pempiawaian produk, penghasilan dan pengeluaran ubat selain pemasaran produk farmaseutikal (termasuk produk berasaskan herba), kosmetik dan makanan kesihatan.

Beliau berkata, graduan program tersebut juga boleh memi­lih kerjaya dalam bidang seperti kawalan kualiti produk, penyiasatan praklinikal, kebitaraan pemasaran, penjualan, penyelidikan dan pembangunan ubat.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata, keunikan kaedah pe­ngajaran di UniKL yang berasaskan teaching factories turut membolehkan para pelajar didedahkan dengan suasana sebenar dalam industri bermula daripada semester pertama pengajian lagi.

Katanya, UniKL RCMP dilengkapi dengan makmal teknologi farmaseutikal yang memboleh­kan pelajar menggunakan pera­latan dan mesin terkini dalam penghasilan ubat mahupun produk farmaseutikal seperti tablet, krim dan lain-lain bentuk ubat yang lebih kompleks.

Modul pengajaran pengajian itu telah dibangunkan oleh tenaga pengajar Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan, UniKL RCMP yang berpengalaman luas dalam bidang industri farmaseutikal dari dalam dan luar negara.

“Dengan pengenalan program baharu ini maka bertambahlah satu lagi program pengajian berkaitan kesihatan di UniKL RCMP yang merangkumi program Ijazah Perubatan dan Ijazah Pembedahan (MBBS) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Farmasi di samping program-program di pe­ringkat diploma seperti Farmasi, Kejururawatan, Pengimejan Perubatan (Radiografi) dan Fisioterapi.

“Pelajar juga dikehendaki menjalani latihan industri di syarikat-syarikat farmaseutikal atau syarikat-syarikat PKS yang berkaitan pada semester ketujuh (tahun akhir) pengajian selain mereka turut didedahkan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan,” kata Ahmad Fuad.

Antara subjek pengkhususan yang perlu diambil pelajar dalam jurusan itu termasuklah kejuruteraan farmaseutikal, teknologi farmaseutikal, farmakologi dan toksikologi, kimia perubatan farmaseutikal, analisis farmaseutikal, sistem penyampaian ubat baharu (seperti nanoteknologi), biofarmaseutikal serta farmakokinetik.

Di samping itu, para pelajar juga perlu mempelajari pengurusan pengeluaran dan pengesahan produk farmaseutikal serta dikehendaki menyiapkan projek penyelidikan selain mendaftar untuk dua subjek elektif.

Antara subjek elektif yang ditawarkan ialah pemasaran farmaseutikal, reka bentuk ubat de­ngan bantuan komputer, teknologi penghasilan ubat herba, amalan penghasilan dan pembungkusan produk farmaseutikal secara Islam.

Graduan lulusan Diploma Farmasi dan Diploma Sains turut berpeluang melakukan pemindahan kredit dan pengecualian kursus untuk satu semester (mini­mum) sekiranya mereka memenuhi sya­rat yang ditetapkan oleh UniKL RCMP.

Selain itu, Ahmad Fuad berkata, program tersebut juga ditawarkan di dalam mod separuh masa bagi memenuhi keperluan calon-calon yang bekerja tetapi ingin menyambung pengajian di dalam bidang teknologi farmaseutikal.

UNTUK maklumat lanjut, sila hubungi 05-243 2635/37 atau email kepada mesra.rcmp@unikl.edu.my. Pengambilan bagi sesi September 2018 kini dibuka dan calon yang berminat sila layari http://www.unikl.edu.my untuk menghantar permohonan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-rcmp-lahirkan-ahli-teknologi-farmaseutikal-1.722196

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.