EL’S BARBERSHOP INGIN TAMPIL UNIK

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Kehadiran kami disambut mesra dengan senyuman manis pemilik El’s Barbershop yang telah membuka kedai gunting rambutnya sejak tahun 2015 lagi. Irama hip hop berkumandang menunjukkan pemiliknya amat menyukai genre tersebut sesuai dengan konsep kedai yang urban menepati citarasa generasi muda. Seunik namanya,  El Afiq Elkhalidy  23 tahun mendapat inspirasi membuka kedai gunting rambut kerana minat dengan gaya potongan rambut lelaki yang trendy dan tidak hanya tertumpu pada satu gaya sahaja.

Waktu paling ramai orang datang bergunting di kedainya adalah sekitar jam 10 pagi ke atas. Beberapa hari sebelum sekolah dibuka merupakan hari yang sibuk buat El dan tidak ketinggalan juga pada musim perayaan. Keistimewaan kedai ini nyata berbeza dari kedai lain kerana turut menyediakan perkhidmatan cuci rambut lelaki. El juga bakal memperkenalkan produk minyak rambut jenamanya sendiri.

Menurut salah seorang pelanggan El yang kami temui di Bizbox Kontena, Kuala Kubu Bharu berkata, kedai El’s  Barbershop bukan kedai gunting biasa, El adalah hair stylist, guntingannya sangat teliti, kemas dan menawarkan pelbagai gaya berbeza untuk dipilih bersesuaian dengan personaliti serta bentuk muka.

“Saya pergi gunting di salon KL selama ini pun mereka tidak menggunting sekemas ni,” katanya lagi.

Kerjaya sebagai tukang gunting rambut pada masa kini kian mendapat tempat dalam kalangan anak muda kerana ia bukan saja menampilkan kemahiran malah turut memberi pendapatan lumayan buat mereka yang menceburinya.

Kerjaya yang memerlukan kemahiran itu memerlukan kecekapan memotong, merapi, mencukur, membuang rambut, janggut dan misai.

Bagi El, dia amat berterima kasih kepada MARA, menyediakan platform untuknya menimba ilmu dalam bidang ini. Masa yang dihabiskan untuk belajar di GiatMARA Gopeng tidak disia-siakan. Selepas tamat pengajian El nekad membuka kedai gunting rambutnya sendiri. El turut menghadiri seminar dan bengkel menggunting rambut pelbagai gaya rambut moden seperti ‘pampadour’, ‘smart cut’, ‘under cut’ dan skin fade.

“Kedai saya menawarkan harga serendah RM12 dan terbuka kepada semua peringkat umur, saya puas melihat hasil potongan saya disukai dan sudah mula didatangi golongan muda yang mahukan potongan trend terkini,” kata El.

Apa yang menarik perhatian kami, El seorang yang tidak lokek ilmu, dia mengalu-alukan golongan muda untuk berkongsi ilmu dan kemahiran tata rias rambut. Dia juga menyarankan agar lebih ramai anak muda menceburi bidang ini memandangkan ianya merupakan kerjaya yang menarik dan unik.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Usahawan. Bookmark the permalink.