21 pelajar terima Anugerah APCBH 2017

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (lima kanan) bersama sama Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi NSTP, Saidon Idris, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Zaini Kamaruzaman dan Pengurus Besar Vertikal Pendiidkan, Farah Ezrin Mohd Rashidi (empat kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian 2017 di Balai Berita Bangsar. NSTP/ AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR: Seramai 21 pelajar cemerlang dari seluruh negara dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian (APCBH) 2017 yang berlangsung di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Bangsar.

Penganjuran APCBH yang memasuki tahun ke-10 ini menerima lebih 100 penyertaan dari seluruh negara.

Tahun ini juga menyaksikan tujuh penerima bagi setiap kategori yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 berserta trofi, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata selaras anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, NSTP menghasilkan pelbagai produk dan program berkaitan bidang pendidikan untuk terus maju.

“Ia bermula pada 1984 menerusi kolum khusus untuk pendidikan dan pada 1985, BH memeterai Memorandum Persefahaman dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkenalkan konsep akhbar dalam darjah (ADD).

“BH terus unggul menguasai produk pendidikan melalui sisipan Didik, Minda dan Skor selain School Times yang diterbitkan dalam New Straits Times (NST) serta portal pembelajaran interaktif, FullAMark,” katanya pada Majlis Penyampaian APCBH 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi NSTP, Saidon Idris; Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Besar Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Menurut Abdul Jalil, APCBH mengiktiraf pelajar dan Rakan Sekolah BH yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PT3 dan SPM serta aktif dalam kegiatan kokurikulum.

“Kami berharap pengiktirafan APCBH ini menjadi dorongan dan menyuntik semangat pelajar untuk terus gigih berusaha dan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa hadapan,” katanya.

Penerima APCBH 2017 dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan kokurikulum tahun 2017 selaras dengan misi Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar holistik.

Calon bagi anugerah ini mestilah pelajar yang pernah menyertai Seminar Bimbingan Peperiksaan BH, melanggan sisipan Didik, Minda dan Skor atau pengguna portal pembelajaran interaktif NSTP iaitu FullAMark sepanjang tahun 2017.

APCBH mula diperkenalkan pada 2007 dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sejak 2016, beberapa kategori diperkenalkan meliputi Rakan Sekolah Cemerlang Akademik BH, Rakan Sekolah Cemerlang Kokurikulum dan Pendidik Kreatif BH sempena sambutan ulang tahun ke-60 BH.

Antara pelajar yang menerima manfaat daripada produk pendidikan BH termasuklah Dr Nur Amalina Che Bakri yang memperoleh 17A1 pada SPM 2004 dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal (19A1 dan 1A2) pada SPM 2008.

Sementara itu, pemenang kali ketiga, Iman Aidi Elham Hairul Nizam, dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tidak pernah berhenti menggunakan bahan pendidikan BH dalam persediaan untuk peperiksaannya.

“Keluarga saya memainkan peranan penting membantu saya memenangi anugerah ini. Ayah menyimpan semua sisipan Skor dalam setiap keluaran dan saya akan menggunakannya sebagai persediaan peperiksaan apabila pulang dari asrama,” katanya.

Bapanya yang juga jurutera pembinaan berasa amat berbangga dengan anaknya yang bercita-cita sebagai jurutera penerbangan dan akan melanjutkan pelajaran ke Moscow, Rusia selepas menamatkan program ASASI di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Kakaknya, Dini Elissyakira, 21, juga pernah memenangi kesemua tiga kategori sepanjang tahun persekolahannya.

“Saya memberi galakan kepadanya agar mengikuti perkembangan produk pendidikan BH kerana ia turut membuka peluang untuk berjaya.

“Sebagai anak sulung dari empat adik beradik, saya gembira melihat Iman yang turut mementingkan pendidikan,” kata pelajar perubatan yang turut menuntut di Russia.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/454706/21-pelajar-terima-anugerah-apcbh-2017

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.