MARA peruntuk RM25 juta perkasa usahawan wanita

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM25 juta bagi program pembangunan dan modal perniagaan khusus untuk usahawan wanita.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata peruntukan itu merangkumi RM20 juta untuk pembiayaan perniagaan di bawah DanaNITA dan RM5 juta bagi program latihan dan bimbingan.

“Di bawah DanaNITA, kami menyasarkan ia akan memberi manfaat kepada 400 usahawan wanita yang berumur antara 18 dan 60 tahun dengan had pembiayaan sebanyak RM50,000.

“DanaNITA memfokuskan kepada lapan kluster perniagaan antaranya gaya hidup, kesihatan, makanan dan minuman, automotif, hi-tec dan industri kreatif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) 2018 yang dihadiri 500 peserta di sini hari ini.

Rina berkata di bawah DanaNITA, usahawan wanita dikecualikan dari beberapa syarat asas yang dikenakan dalam skim pembiayaan lain seperti tidak perlu menduduki ujian psikometrik dan tidak diwajibkan membuka akaun semasa.

“Selain itu, DanaNITA ini juga sangat fleksibel. Usahawan tidak semestinya perlu mempunyai premis perniagaan sebaliknya mereka yang berniaga secara dalam talian atau yang beroperasi dari rumah juga layak untuk dipertimbangkan kemudahan ini.

“Penyediaan skim ini melambangkan keprihatinan MARA dalam membantu meringankan beban suri rumah atau ibu tunggal yang ingin berniaga tetapi pada masa yang sama perlu menguruskan keluarga,” katanya.

Beliau berkata setakat tujuh bulan pertama tahun ini,di bawah DanaNITA sebanyak RM4.7 juta telah diagihkan kepada 139 usahawan wanita.

Rina berkata di bawah program bimbingan dan latihan, MARA memperuntukkan RM5 juta dan menyasarkan lebih 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripada peruntukan itu.

“Program latihan ini disediakan bertujuan untuk melengkapkan diri usahawan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan yang bersesuaian serta berupaya bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata antara latihan yang disediakan ialah latihan asas perniagaan, motivasi, pelan perniagaan, pemasaran, produktiviti dan pelbagai program latihan yang berimpak tinggi.

Rina berkata bagi memastikan maklumat berkenaan program dan DanaNITA ini sampai kepada kumpulan sasaran, MARA akan menjelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara.

Selepas Negeri Sembilan, jelajah WISE akan diteruskan di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Sabah, Pahang, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA

Sumber : http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/mara-peruntuk-rm25-juta-perkasa-usahawan-wanita-1.720625

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.