Memperhebat keusahawanan dan perniagaan kepada para pelajar

 

Peserta Program Accelerator eUsahawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar KKTM Ledang.

Tangkak 23 Julai – Usaha memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera diteruskan menerusi Program Accelerator eUsahawan anjuran Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, program selama tiga hari yang bermula dari 19 hingga 21 Julai ini disertai seramai 34 orang pelajar semester akhir jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan KKTM Ledang.

“Program ini memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mengenai peluang-peluang perniagaan dengan menggunakan teknik pemasaran secara online menggunakan platform e-marketplace yang disediakan oleh pihak MDEC,” katanya.

Beliau menambah, melalui pendedahan dan bimbingan secara professional daripada tenaga pengajar MDEC ini, pelajar-pelajar dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam kaedah pemasaran online menggunakan platform e-marketplace sehingga mampu menjana pendapatan ribuan ringgit dalam masa tiga hari program ini dijalankan.

“Di akhir program ini, para pelajar telah berjaya menjana jualan dan pendapatan sebanyak RM3,875.60 secara atas talian dengan menggunakan platform e-marketplace yang telah dipelajari,” katanya lagi.

Semoga kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa depan dalam usaha menyemai budaya keusahawanan secara konsisten kepada para pelajar Institusi Pendidikan MARA.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.