UniKL MSI sedia depani IR 4.0

DR. SHAHRIL NIZAM MOHAMED SOID (kiri) bersama Koordinator Seksyen Kejuruteraan, Dr. Muhammad Najib Abdul Hamid sentiasa berbincang bagi mengorak langkah ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan mempersiapkan pelbagai stategi untuk membolehkan penuntut UniKL MSI mendepani saingan ledakan teknologi semasa.

MALAYSIA kini perlu bersedia untuk menempuhi Revolusi Industri (IR 4.0) yang memerlukan persediaan rapi terutama kepada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi yang akan mendepani cabaran berkaitan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia.

Ketika fasa IR 4.0 itu, tidak dapat tidak topik perbincangan utama adalah melibatkan teknologi automasi dan penemuan pelbagai teknologi baharu selain pe­ningkatan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian yang dijalankan secara digital.

Menyedari hakikat itu, Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah kini mengorak langkah untuk mendedahkan para penuntutnya untuk berhadapan dengan ledakan teknologi yang semakin canggih.

Selaras dengan hasrat mereka untuk menjadi sebuah universiti premier berkaitan keusahawanan teknikal serta melahirkan usahawan tekno global, UniKL MSI telah memulakan langkah awal ke arah IR 4.0.

Menurut Timbalan Dekan Ja­batan Akademik dan Teknologi UniKL MSI, Dr. Shahril Nizam Mohamed Soid, empat komponen utama telah digariskan ke arah mencapai hasrat terbabit iaitu aspek teknikal, sosial, keusahawanan dan IR 4.0 itu sendiri.

“IR 4.0 menekankan teknologi maya termasuk kecanggihan automasi menerusi pendigitalan serta pembinaan rang­kaian, robotik, artificial intelligence (kecergasan buatan), ­bioteknologi dan banyak lagi.

“Malah menerusi IR 4.0, aktivi­ti rutin seperti pemantauan akan diautomasi sepenuhnya atau sebahagiannya diambil alih oleh mesin. Pada masa ini, kepakaran pekerja industri perlu dipertingkatkan dengan kemahiran automasi dan teknologi-teknologi IR 4.0 yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, revolusi itu secara dasarnya akan melibatkan Internet Segalanya (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian dan ia berbeza daripada revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua kepada elektrik, dan ketiga kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).

Jelas Shahril Nizam lagi, untuk memenuhi kehendak industri, UniKL telah membangunkan silibus yang akan diguna pakai di semua kampus mereka selewat-lewatnya Julai 2019 dengan memberi penekanan kepada kerjasama dua hala bersama pihak terlibat.

“Pada masa ini silibus asas yang akan digunakan telah ada dan akan diguna pakai oleh semua penuntut UniKL selari dengan kehendak industri serta mampu disesuaikan dengan elemen terbaik.

“Silibus ini juga akan memberi pendedahan awal berkaitan kehendak IR 4.0 dan tidak memerlukan mereka menjalani latihan atau kursus yang panjang untuk mempersiapkan diri,” ujarnya.

Sementara itu pada masa sama, UniKL MSI iaitu universiti milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu turut memperkenalkan kursus baharu bagi menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini setanding kemudahan yang digunakan di industri.

Koordinator Seksyen Kejuruteraannya, Dr. Muhammad Najib Abdul Hamid berkata, salah satu kursus baharu adalah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian yang menepati kurikulum baharu serta persediaan ke arah IR 4.0.

Ujarnya, program ini turut mempunyai nilai tambah jalinan program khusus bersama beberapa industri untuk program di akhir setiap semester.

“Melalui kursus ini, penuntut UniKL MSI akan mengikuti kelas selama 14 minggu untuk setiap semester sebelum mereka boleh mengikuti kursus tambahan untuk memantapkan kemahiran teknikal selama tiga minggu secara tambahan.

“Kursus tiga minggu itu terkandung di bawah Short Term Technical Enhancement Programme atau STEP sebelum mereka keluar kepada industri untuk menjalani praktikal,” katanya.

Selain itu, UniKL MSI juga menawarkan program mobiliti iaitu pertukaran pelajar ke luar negara selama satu semester serta pemindahan ijazah dari beberapa universiti yang menjalin hubu­ngan dengan universiti itu.

Ujarnya, melalui pertukaran pelajar itu, penuntut UniKL MSI berpeluang belajar selama dua tahun di Malaysia sebelum dua tahun lagi di luar negara dengan perbelanjaan ditaja oleh MARA.

“Peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan sentiasa meluas dengan anggaran sebanyak 100,000 jurutera diperlukan di negara ini menjelang 2020 de­ngan pendapatan yang agak lumayan,” katanya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-msi-sedia-depani-ir-4-0-1.713140

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.