JUARAI HASRAT PEMBENTUKAN NEGARA BERTERASKAN KEUSAHAWANAN

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Dato’ Zulfikri Osman (duduk empat dari kanan) bersama para peserta Trainer’s Training Programme for New Enterprise in Malaysia kendalian Entrepreneurship Development Institute of India

NIBONG TEBAL, 20 Julai – MARA akan memainkan peranan yang lebih aktif dengan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti keusahawanannya ke arah pewujudan negara yang berteraskan keusahawanan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman, MARA sememangnya mempunyai ekosistem keusahawanan yang lengkap meliputi usaha-usaha pewujudan usahawan baru, peluang-peluang perniagaan dan bantuan sokongan perkembangan perniagaan seperti pinjaman perniagaan serta penyediaan ruang-ruang premis perniagaan.

“Dengan kekukuhan infrastruktur sedia ada dan disokong dengan kekuatan intelektual yang dimiliki, MARA akan memainkan peranan lebih aktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif baru keusahawanan kepada rakyat seperti pembudayaan, gaya pemikiran, cara hidup serta ekosistem yang akan memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju yang digelar ‘The Entrepreneurial Nation’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Engagement Bersama Peserta Program Trainer’s Training Programme for New Enterprise Creation in Malaysia di Institut Latihan Kecemerlangan MARA (ILKM) di sini hari ini.

Seramai 30 orang pegawai MARA seluruh Malaysia telah terpilih mengikuti program bermula 16 hingga 27 Julai di bawah kendalian Entrepreneurship Development Institute of India (EDII).

Zulfikri menegaskan, program kerjasama bersama EDII ini merupakan antara pendekatan yang diambil dalam memperkasakan Sektor Keusahawanan MARA melalui usaha melahirkan tenaga pengajar (trainer) keusahawanan generasi baru MARA.

“Oleh itu, para peserta yang terpilih perlu memanfaatkan program ini sebaik mungkin dan seterusnya mempraktikan ilmu yang diperoleh terutamanya dalam konteks latihan pewujudan usahawan baru di seluruh negara,” katanya lagi.

Turut hadir ke sesi adalah Pengarah Sumber Manusia MARA, Mohd Salleh Abdullah serta Pengarah ILKM, Fetrah Abu Samah.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.