PERKHEMAHAN KOR KADET POLIS KEBANGSAAN KE-20, BERSAING SECARA SIHAT DAPAT MENGUKUHKAN JATIDIRI

Barisan Kontinjen MARA yang siap sedia dalam acara perbarisan dalam Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan kali ke 20 di Ayer Keroh, Melaka.

Oleh : Mohd Taufek Mohd Noh
media@mara.gov.my

Melaka, 18 Julai – Penerapan nilai-nilai disiplin, nilai-nilai murni dan input-input positif dalam jiwa pelajar dapat disemai dengan Penubuhan Pasukan Kadet (PK) di setiap Institut Pendidikan MARA (IPMA) kearah mencapai hasrat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu.

Demi kelangsungan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan kali ke 20 telahpun diadakan di Forestay, Hutan Botanikal Ayer Keroh Melaka, pada 10 hingga 14 Julai baru-baru ini yang disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Sri Tajudin Bin Md Isa, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Pada penganjuran kali ini, MARA dijemput untuk menyertai perkhemahan ini dan seramai 36 orang pelajar dari beberapa buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dipilih bagi mewakili MARA ke perkhemahan ini antaranya MRSM Balik Pulau, MRSM Baling, MRSM PDRM, MRSM Pendang, dan MRSM Transkrian.

Kontinjen MARA bergambar kenangan bersama Pengarah Pendidikan Menengah MARA En. Kamaruzaman Bin Jaffar (tengah)

Terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti kawad kaki berpasukan, kawad kaki individu, menembak berpasukan, menembak individu, ronda pandu arah, rentas halangan, mara lasak dan inovasi campuran lelaki dan wanita.

Menurut Tajudin dalam ucapannya berkata, “acara seperti perkhemahan ini dapat meningkatkan pemupukan semangat patriotism dan cintakan negara di kalangan anggota Kor Kadet Polis disamping menjadikan aktiviti Pasukan Kor Kadet Polis sekolah sebagai penyokong dan pelengkap kearah pencapaian akademik yang lebih cemerlang.”

“Program ini juga dapat membantu meningkatkan disiplin diri anggota Kor Kadet Polis dengan mematuhi peraturan dan undang-undang serta meningkatkan keazaman dan semangat jatidiri yang kuat dan bersaing secara sihat.” Ujarnya.

MARA turut berbangga dengan pencapaian pelajar MRSM yang mewakili dalam acara yang dipertandingkan dalam perkhemahan ini antaranya meraih johan dalam acara kawad individu lelaki, inovasi keselamatan dan menembak kategori platun komander.

Selain itu, MARA juga meraih naib Johan dalam acara menembak berpasukan wanita dan menembak individu wanita seterusnya tempat keempat dalam acara kawad berpasukan lelaki dan menembak berpasukan lelaki.

“kejayaan mereka ini dalam memperoleh tempat keenam keseluruhan, menunjukkan semangat yang jitu dalam kerja berpasukan demi membina sahsiah dan keperibadian berwibawa” kata Ainor Faiz bin Shuib selaku Pegawai Teknikal Kor Kadet Polis MRSM Semalaysia.

Turut hadir dalam majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan kali ke 20 ini antaranya adalah YBhg. Dato’ Abd Jalil bin Hassan Ketua Polis Melaka dan En. Kamruzaman Bin Jaffar, Pengarah Pendidikan Menengah MARA.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.