Program IPMa Global Village Pamer Kebudayaan Negara Luar

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Program IPMa Global Village 2018 yang bertempat di Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur selama tiga hari telah disertai oleh 19 Institusi Pendidikan Tinggi MARA (IPMa) seperti Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, Universiti Kuala Lumpur, KPTM dan KUPTM serta melibatkan seramai 250 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar dan kakitangan IPMa.

Program IPMa Global Village ini adalah cetusan idea daripada Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA bertujuan memperkenalkan budaya Negara-negara luar dengan melibatkan semua IPMa.

IPMa yang terlibat diberi tanggungjawab untuk memilih Negara yang ingin diwakilkan, berhubung dengan pihak-pihak berkaitan seperti kedutaan bagi mendapatkan maklumat dan kerjasama, seterusnya menyediakan pameran untuk Negara yang diwakilkan.

Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur kali ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali kedua program yang dijadikan sebagai program tahunan BPT MARA ini.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, YBhg. Encik Nordin bin Ahmad, penganjuran program ini memenuhi hasrat dan matlamat memperkenalkan budaya Negara-negara luar kepada pelajar-pelajar IPMa khasnya dan masyarakat umum amnya.

“Ia juga adalah suatu penghargaan kepada KPTM/KUPTM atas kepercayaan MARA untuk KUPTM menjadi tuan rumah bagi penganjuran program kali ini. Pameran-pameran yang disediakan oleh peserta-peserta IPMa juga mengambil kira beberapa aspek dalam Negara tersebut seperti bahasa, pakaian, agama dan makanan-makanan rutin mereka. Komitmen yang diberikan ini secara tidak langsung dapat meningkat kualiti peserta-peserta, serta membentuk pemikiran dan pengetahuan global.”

Majlis perasmian penutup hari ini yang dijadualkan akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf telah diwakili oleh Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar, YBhg. Encik Abdul Azmi Bin Abdul Aziz.

Sumber : Komunikasi Korporat KPTM

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.