BANGGA JADI ANAK MARA

Mohd Asyrul Abdul Malek dan Ahmad Norazam Mohd Ariffin pemilik cafe The Dapo Café & Bistro

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Terpancar wajah kegembiraan pemilik restoren The Dapo Dungun menceritakan  mereka juga sebenarnya graduan. Setelah menamatkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur- Malaysia France Institute, Mohd Asyrul Abdul Malek dan Ahmad Norazam Mohd Ariffin nekad menceburi industri makanan dan minuman, The Dapo Café & Bistro.

“Keusahawanan Kerjaya Pilihan”, berbekalkan minat yang mendalam untuk menjadi seorang usahawan pada usia muda, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Besut dan Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghafar Baba telah menyahut seruan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjadi usahawan bumiputera yang berjaya pada masa hadapan.

“Bagi saya, kejayaan adalah tangga, kita melepasi satu anak tangga dan melihat persekitaran yang jauh berbeza, jadi ia sesuatu yang menyeronokkan untuk mengecapinya” kata Asyrul yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada 31 Ogos ini.

Bagi Azam, usaha yang dahulu mendapat tentangan keluarga kini telah membuahkan hasil.

“Memilih jalan untuk menjadi seorang usahawan adalah bukan sesuatu perkara yang mudah untuk diterima oleh keluarga saya terutamanya ibu dan bapa saya. Mahupun begitu, setelah dua tahun menceburi bidang ini, saya dapat membuktikan kepada mereka bahawa keusahawanan kini mendapat tempat dalam masyarakat dan mampu menjana pendapatan yang tinggi”, jelas Azam.

The Dapo Café & Bistro telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Januari 2016 dan kini menjadi pilihan utama pelanggan setia di Dungun Terengganu. The Dapo menawarkan sajian makanan barat yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia dengan menu yang pelbagai. Apa yang membezakan mereka dengan restoren barat yang lain adalah harganya yang berpatutan dan mampu dinikmati oleh pelbagai peringkat. Selain itu,The Dapo juga merupakan pelopor ruang majlis untuk keraian dan sambutan hari lahir di Dungun Terengganu.

“MARA telah menawarkan bantuan kepada kami bagi merancakkan industri ini seperti Program Usahawan Teknikal (PUTEK). Setiap usahawan yang menyertai program ini akan diberi bantuan secara pakej meliputi kemudahan seperti kursus pembentukkan usahawan, pengurusan perniagaan, peningkatan kemahiran dan asas teknikal yang bersesuaian dengan bidang perniagaan masing-masing,” ujar mereka dengan rasa bangga.

Asyrul dan Azam meletakkan harapan yang tinggi agar bidang yang mereka pilih ini adalah yang terbaik dan membuahkan hasil. Mereka juga menyeru agar anak- anak muda turut berkecimpung dalam bidang perniagaan.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.