Oleh : Mohd Taufek Mohd Noh
media@mara.gov.my
Kuala Lumpur, 14 Julai- Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Profesional atau (ProSPEC) 2018 dalam bidang perubatan.
Seramai lebih 300 peserta yang terdiri daripada Pegawai Perubatan (MO) dan General Practitioner (GP) seluruh negara mengambil peluang dalam menyertai seminar bagi program ini. Mereka yang memenuhi syarat dan terpilih akan menjalani latihan Pembangunan Usahawan Profesional. Fasa pertama latihan ini bermula pada Julai akan disertai seramai 40 orang bakal usahawan professional manakala kumpulan kedua akan bermula pada November.
Seramai 40 bakal usahawan dipilih untuk mengikuti latihan pembentukan usahawan professional. Seterusnya 20 terbaik akan ditawarkan kemudahan pembiayaan perniagaan sehingga RM300 ribu bagi membuka klinik sendiri di bawah satu jenama iaitu U.n. i Klinik (You and I Clinic).
Bagi tahun 2018, sejumlah RM6 juta bantuan pembiayaan perniagaan diperuntukkan kepada usahawan bidang professional perubatan yang terpilih mengikuti program ProSPEC ini.
Selain dari memberi fokus kepada profesional kedoktoran, ProSPEC akan terus dilaksanakan meliputi bidang-bidang profesional lain yang didaftarkan di bawah 12 Badan Profesional yang diiktiraf oleh Kerajaan. Sebagai contoh, professional perakaunan, professional undang-undang, professional farmasi dan lain-lain.
.
Pembiayaan perniagaan berbentuk islamik yang ditawarkan ini membantu usahawan dalam memulakan perniagaan klinik yang meliputi modal pusingan, ubah suai klinik, mesin dan peralatan, ubat-ubatan, khidmat nasihat, pemasaran serta pemantauan perkembangan syarikat.
Program ProSPEC adalah selari dengan usaha untuk meningkatkan nisbah 1 doktor kepada 400 rakyat (1:400) seperti mana keperluan yang dinyatakan oleh World Health Organization (WHO) bagi sesebuah negara. Pada masa kini, nisbah tersebut adalah pada kadar (1:650).
Inisiatif ini dilihat memberikan peluang kepada doktor untuk terus berkhidmat dan tidak bergantung kepada penempatan di hospital atau klinik kerajaan, sebaliknya mereka bakal memiliki perniagaan sendiri.
Bagi memastikan kelangsungan perniagaan ini, U. n. i Klinik akan disenaraikan sebagai salah satu dari Panel Klinik MARA.
Perniagaan klinik di bawah jenama U.n.i Klinik diperkenalkan bagi membolehkan MARA menyalurkan bantuan keusahawanan dan memantau perkembangan syarikat dengan lebih dekat dan teratur secara sistemasik meliputi keperluan sebenar usahawan agar syarikat mereka mampu berkembang dan berdaya saing dalam pasaran.