Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Jepun Dalam JCE

Tarian kipas antara budaya jepun yang dipersembahkan dalam JCE oleh pelajar-pelajar MJII

Oleh : Mohd Taufek Mohd Noh
media@mara.gov.my

Selangor, 9 Julai – Program Japanese Cultural Event (JCE) buat julung kalinya telah diadakan pada 2011 yang dianjurkan oleh MARA-Japan Industrial Institute (MJII) yang pada ketika itu dikenali sebagai Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Beranang, dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan serta berjaya memberi impak yang positif kepada para pelajar MJII khususnya dan masyarakat luar amnya.

Rentetan sejarah itu, kali ini JCE telah diadakan di MJII yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohamed Roseli Bin Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA yang pastinya memberi kelainan kepada pengunjung yang hadir dalam aspek kebudayaan.

Menurut Dato’ Roseli dalam ucapannya, “Lanjutan dari impak yang amat memberangsangkan, ianya dilihat perlu diteruskan sebagai acara tahunan dalam memperkasakan budaya Jepun.” Katanya.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti pertandingan speech contest, workshop, kraftangan dan masakan Jepun bagi memeriahkan sambutan program tersebut.

Menurut pengarah MJII, Pn. Hajjah Zarinah, ketika ditemui berkata, “program JCE ini dilihat sebagai satu platform dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengenali lebih dekat mengenai budaya Jepun dan berpeluang berinteraksi untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Jepun bagi yang meminati untuk mempelajari bahasa ini.”

“Program ini juga adalah salah satu medium untuk mengembangkan dan menggalakkan para pelajar untuk memperluaskan lagi bakat dan kebolehan mereka secara aktif serta mampu menerapkan budaya, nilai murni dan etika rakyat Jepun yang tinggi di kalangan pelajar.” Ujarnya.

Turut hadir dalam program ini adalah 24 delegasi yang terdiri daripada profesor dan staf Japanese Consortium University (JCU) dari Jepun.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.