Kepimpinan Mahasiswa MJII Bersifat Terbuka

Oleh : Mohd Taufek Mohd Noh
media@mara.gov.my

Selangor, 9 Julai 2018. MARA – Japan Industrial Institute (MJII) membuka tirai baharu barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2018/2019 dengan hala tuju yang baharu dalam mengemudi kepimpinan pelajar selepas kehangatan pilihan raya kampus yang berlangsung pada 11 Jun lalu.

Seramai 15 orang MPP yang menang pada pemilihan MPP dirai dalam satu majlis tertutup di MJII iaitu Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan MPP yang disempurnakan oleh Puan Hajjah Zarinah Binti Idrus, Pengarah MJII. Dalam majlis tersebut, Puan Hajjah turut menyampaikan amanat beliau kepada barisan MPP yang dilantik.

“Dengan penyampaian watikah tersebut secara rasminya tergalaslah tanggungjawab barisan MPP sebagai pemimpin pelajar di MJII dan adalah diharapkan agar kebajikan pelajar lebih terbela dan kecemerlangan siswa sisiwi MJII dipertingkatkan lagi.” katanya.

Menurut Hajjah, “Dengan menggunakan sistem e-voting, peratusan keluar mengundi pada tahun ini meningkat dari 75.25% pada tahun 2017 kepada 93.42% pada tahun ini pada sesi pemilihan yang telah diadakan. Peningkatan ini juga disebabkan kempen pengundian yang meriah dengan poster-poster calon yang ditampal di sekitar kampus selain kesedaran pelajar untuk mengundi yang semakin meningkat”.

Menurut Penasihat MPP iaitu Mohd Azkamal Bin Muhaini yang juga Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar (KPHP) MJII, “Seramai 24 orang calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini dan semuanya masing-masing tidak mewakili program atau mana-mana parti kerajaan mahupun pembangkang malah semuanya berdasarkan pencapaian CGPA 3.0 dan ke atas pada semester pertama dan tiada rekod tindakan tatatertib”.

Ketua Suruhanjaya Pilihanraya Pelajar (SPR) Danial Ridzuan Bin Azmi yang ditemui pula memberitahu, “kesemua calon layak bertanding dan melepasi mata yang disarankan oleh pihak kolej dan semua mahasiswa sangat berfikiran terbuka dalam memilih calon-calon pilihan mereka bagi memimpin mereka dan membawa suara pelajar kepada pihak pengurusan dalam masa yang sama membawa misi dan visi kolej.”

Sebanyak 15 kerusi telah dipertandingkan dan seramai lima (5) orang dilantik Majlis Tertinggi manakala selebihnya exco bagi memperkasa pengurusan MPP MJII. Saudara Fahrul Razi Bin Zainal Abidin, pelajar jurusan Robotic & Automation dilantik sebagai Yang Dipertua MPP sesi 2018/2019.

“Dengan kepercayaan yang diberikan pada saya, saya akan sedaya upaya mengimbangi antara belajar dan memimpin, doakan semoga saya dapat menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya dan membawa satu perubahan yang lebih baik berbanding kepimpinan terdahulu.” katanya.

Hadir bersama pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik (HEA) MJII iaitu Mohd Azman Bin Mohd Rafaie, Pentadbir sistem e-voting Yuraimy Yakimin Bin Abdul Talib, Penyelaras Jawatankuasa MPP MJII Mohd Asiq Bin Hamdi, Ketua-ketua Jabatan dan semua pelajar MJII.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.