Pendidik MARA Menyantuni Anak Bangsa Ke Puncak Dunia

YB Rina Mohd Harun bersama penerima khas Anugerah Tokoh Pendidik MARA dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dato’ Dr. Mohd Azemi Mohd Noor (Professor Emeritus) dan penerima-penerima Anugerah Pendidik Cemerlang MARA 2018.

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

“Yang paling hebat bagi seorang guru adalah mendidik, dan rekreasi yang paling indah adalah mengajar”, K.H Maimoen Zubair.

Kata-kata motivasi di atas menjelaskan bahawa menjadi guru bukan hanya mulia tetapi mampu menyantuni anak bangsa sehingga ke puncak dunia. MARA juga mempunyai barisan pendidik hebat yang tidak boleh disangkal lagi oleh umum pada hari ini. Saban tahun, tarikh 16 Mei merupakan hari bermakna bagi warga pendidik dirai bersama demi menghargai jasa dan menyanjungi pengorbanan dalam mendidik pelajar. MARA juga tidak ketinggalan meraikan Hari Pendidik ini kerana ianya merupakan satu pengiktirafan diberikan kepada para pendidik MARA di atas peranan dan sumbangan dalam mendidik anak bangsa terutamanya masyarakat bumiputera.

Bertemakan “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”, seramai 800 orang pendidik institusi pendidikan MARA diraikan dalam majlis Sambutan Hari Pendidik MARA di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor yang disempurnakan oleh YB Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Rina menegaskan penguasaan bahasa ketiga perlu diperluas kepada bahasa-bahasa antarabangsa yang lain bukan hanya bertumpu kepada bahasa Arab semata-mata. Bahasa ketiga tersebut adalah seperti bahasa Mandarin, Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan lain-lain bahasa yang bersesuaian.

Bagi memastikan sistem pendidikan MARA di peringkat tertiari dan pengajian tinggi sentiasa relevan dan berkualiti, penambahbaikan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan pasaran. Maka, penguasaan Bahasa Inggeris oleh para graduan adalah amat penting. Beliau turut mencadangkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan warga pendidik perlu ditingkatkan.Oleh itu, MARA akan merangka kursus-kursus pemerkasaan Bahasa Inggeris yang intensif dan efektif serta dilaksanakan secara berterusan, katanya lagi.

Sambutan Hari Pendidik MARA 2018 menyaksikan seramai 23 orang pendidik MARA telah menerima Anugerah Pendidik Cemerlang MARA (APCM) dan seorang penerima khas Anugerah Tokoh Pendidik MARA dari Universiti Kuala Lumpur Prof. Dato’ Dr. Mohd Azemi Mohd Noor (Professor Emeritus). Penilaian APCM adalah berdasarkan kepada Laporan Penilaian Prestasi (LPP) tahun berkaitan, rekod disiplin, penampilan kualiti peribadi termasuk imej, serta sumbangan pendidik kepada perkembangan program pengajian. Manakala penilaian Anugerah Tokoh Pendidik MARA berdasarkan kepakaran dan sumbangan yang besar dalam pembangunan modal insan dalam sektor pendidikan MARA.

Rina turut menyampaikan Anugerah Pensijilan Penarafan Bintang Star Rating in MARA Institution (STRIM) kepada IPMa yang diiktiraf 4 & 5 bintang. Antara IPMa yang menerima sijil STRIM adalah MRSM Bentong, MRSM Kubang Pasu, KPM Ayer Molek, KKTM Petaling Jaya, MRSM Felda Terolak dan MARA Japanese Industrial Institute (MJII).

Rina berkata, pendidik MARA perlu bergerak seiring dengan corak pendidikan terkini yang akan membantu untuk melahirkan generasi yang berilmu untuk berfikir. Selain itu, para pendidik diseru untuk bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop dan teknologi yang global dan terkini.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA dan pegawai-pegawai Kanan Kementerian serta Ketua Agensi di bawah KPLB.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.