ADIK, JANGAN PATAH SEMANGAT

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Dr. Yusni Zaini Yusof (tengah) memberi khidmat nasihat kepada tenaga pengajar.

Masih terngiang di telinga ini kata-kata seorang sahabat yang berpangkat kakak, memberi semangat dan motivasi di saat saya memulakan kerjaya sebagai guru MARA di MRSM Besut. 12 tahun menabur bakti di bumi Besut sangat menyeronokkan di samping berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai seorang pendidik.

Di sini juga lah saya berkenalan dengan seorang pendidik hebat yang saya gelar ‘Sifu’. Beliau merupakan seorang guru yang tidak pernah kenal erti penat, seorang insan yang sangat bertanggungjawab, berdisiplin dan berwibawa. Insan yang tidak pernah lokek ilmu dan selalu menjadi penasihat serta pendengar yang baik.

“Guru biasa-biasa saja hanya bisa menceritakan. Guru yang baik mampu menjelaskan. Guru yang unggul mampu menunjukkan. Sementara guru yang hebat bisa memberikan inspirasi.” William Arthur Ward.

Kata-kata itu amat memberi inspirasi kepada saya terhadap beliau yang saya kenali iaitu Dr. Yusni Zaini Yusof. Beliau bukan sahaja mengajar subjek Kemahiran Hidup di MRSM Besut, namun seorang “murobbi’ yang memberi inspirasi kepada pelajar-pelajarnya melalui pengalaman yang ada dan memberi motivasi buat mereka untuk meraih cita-cita memandangkan beliau juga seorang alumni MRSM Pengkalan Chepa.

Beliau seorang guru yang kreatif dan sentiasa membuat perubahan dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Di samping itu, tugasan seorang guru tidak menghalang beliau untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PHD) Sains Pengurusan Pendidikan dari Universiti Utara Malaysia.

Dr. Yusni Zaini Yusof (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama rakan-rakan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PHD) Sains Pengurusan Pendidikan Universiti Utara Malaysia

Beliau dikenali sebagai guru yang begitu disenangi dan selalu mengambil berat terhadap anak didiknya membuatkan para pelajar berasa amat selesa dengan kehadirannya.

Tugasan guru yang dipikul bukan mudah, memerlukan jati diri yang teguh, sabar dan sentiasa sedia menghadapi cabaran tahun demi tahun. Dr. Yusni Zaini adalah penerima Anugerah Pendidik MARA 2017 kerana sumbangan beliau kepada komuniti melalui pendidikan. Antara kejayaan lain yang turut diraih adalah Anugerah Khas Pengurusan 2008 dan 2014, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 dan Anugerah Tokoh Guru MRSM Besut 2017.

Beliau membantu dalam perkembangan profesional pendidik melalui kursus, kajian, perkongsian ilmu serta membantu guru dalam kajian, persidangan dan inovasi mereka. Beliau turut menyumbang bakti sebagai penceramah, pembentang dalam persidangan pendidikan, penggubal soalan dan yang terkini sebagai auditor MQS MARA.

Disempena dengan Hari Pendidik yang saban tahun diadakan, saya ingin mengucapkan Selamat hari guru kepada beliau dan semua warga pendidik. Ingatlah, bahawa guru adalah kerjaya yang membolehkan mereka pergi jauh berdasarkan usaha, kreativiti dan minat masing masing.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.