Prihatin nasib pelajar tahfiz, MARA mahu pastikan pelajar ini dapat latihan menjana pendapatan

Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof mencuba memasak pizza semasa Program Skill To Tahfiz (S2T) di bawah Pembudayaan Keusahawanan anjuran MARA Negeri Sembilan dengan kerjasama GIATMARA. (Foto : Anuar)

Kuala Pilah, 6 Jun – Membantu generasi muda terus menerima latihan keusahawanan tanpa perlu menjadikan masalah kewangan sebagai kekangan menjana pendapatan antara objektif Program Skill To Tahfiz (S2T) di bawah Pembudayaan Keusahawanan anjuran MARA Negeri Sembilan dengan kerjasama GIATMARA.

Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof berkata, untuk Ramadan kali ini, pihaknya menyasarkan pelajar-pelajar tahfiz di setiap 7 daerah di Negeri Sembilan yang memerlukan bantuan menerusi Pegawai MARA Daerah kawasan tersebut.

“Kami memilih setiap 7 daerah termasuklah daerah Seremban, Tampin, Rembau, Kuala Pilah, Jempol, Port Dickson dan Jelebu.”

“Madrasah-madrasah ini dipilih untuk menyertai program ini kerana pelajar-pelajar tahfiz di sini belum pernah menerima sumbangan dalam bentuk latihan keusahawanan” katanya.

Menurut Mimi Mazlin Mohamad Yusof, program itu adalah program pertama kali dan pastinya MARA sangat prihatin dan mengambil berat masalah pelajar-pelajar tahfiz supaya mereka terus bersemangat untuk menjadi usahawan suatu hari nanti.

Dalam pada itu, antara latihan daripada GIATMARA seperti pendawaian, membuat pizza, gunting rambut dan sebagainya memberi impak tinggi dan pemahaman jelas kepada pelajar-pelajar mengenali dunia keusahawanan dan secara tidak langsung mengenali GIATMARA sebagai institusi pendidikan MARA.

“Sememangnya pelajar-pelajar ini diberikan latihan keusahawanan secara praktikal agar mudah difahami dan diminati.”

“Program S2T ini telah bermula pada 31 Mei 2018 di Daerah Seremban dan berakhir pada 7 Jun 2018 di Daerah Jelebu.” katanya lagi.

Selain itu, menurut pengurus Madrasah Al-Ghoniah, Ustaz Mohd Ghanis Haji Osman, pihaknya amat berterima kasih kepada MARA atas sumbangan berbentuk latihan keusahawanan yang belum pernah diberi oleh mana-mana pihak sebelum ini.

“Sumbangan seperti ini adalah kali pertama kepada kami dan kami amat berterima kasih kepada MARA memberi latihan keusahawanan kepada pelajar-pelajar tahfiz di sini, mereka sangat gembira apabila didedahkan bagaimana membuat pizza menggunakan peralatan khas yang diberi.” katanya.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.